Isnin, 26 Disember 2016 | 12:07am

Aplikasi IoT tingkatkan hasil fertigasi cili


APLIKASI IoT membantu meningkatkan hasil pelaksanaan projek fertigasi cili di Kolej Kediaman Perwira UTHM.

BATU PAHAT: Kelab Kejuruteraan Elektrik (KKE) bawah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), berjaya membangunkan aplikasi dikenali sebagai 'Internet of Things' (IoT) yang membantu meningkatkan hasil pelaksanaan projek fertigasi cili di Kolej Kediaman Perwira kampus di sini.

Ketua Projek IoT yang juga Dekan FKEE, Dr Afandi Ahmad, berkata inovasi itu dihasilkan melalui bimbingan Makmal Penyelidikan Embedded Electronics di Microelectronics and Nanotechnology - Shamsuddin Research Centre (MiNT-SRC) universiti berkenaan.

Beliau berkata, IoT dilengkapi sistem pemantauan masa nyata terhadap parameter penting seperti suhu persekitaran, kelembapan udara dan tanah serta kawalan injap paip, yang juga boleh dioperasikan secara dalam talian.

Kerjasama pintar

"Aplikasi ini bukan sahaja membolehkan maklumat disimpan dalam sistem dan data disemak apabila perlu, malah parameter terbabit dapat dipantau menerusi komputer serta telefon pintar," katanya.

Dr Afandi yang juga Pengetua Kolej Kediaman Perwira berkata, projek itu dibimbing Dr Mohd Noor Abdullah dan membabitkan dua pelajar Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik (Penyelidikan) di FKEE, iaitu Muhammad Faris Roslan dan Muhammad Muzakkir Mohd Nadzri.

Beliau berkata, kerjasama pintar antara KKE dengan Kolej Kediaman Perwira melalui Strategi Lautan Biru (BOS) itu menyaksikan penanaman cili bawah projek fertigasi berkenaan meningkat kepada 80 pokok berbanding hanya 40 pada permulaan.


APLIKASI IoT dilengkapi sistem pemantauan masa nyata terhadap parameter penting.

Keuntungan mingguan

"Projek fertigasi cili di Kolej Kediaman Perwira merupakan yang pertama seumpamanya diusahakan oleh pelajar UTHM. Mereka berupaya meraih keuntungan mingguan sekitar RM80, selain memperoleh pendedahan budaya keusahawanan," katanya.

Sambil menjelaskan pencapaian itu secara langsung membuktikan kejayaan FKEE melahirkan modal insan holistik yang diiktiraf oleh pihak industri dan masyarakat, Dr Afandi berkata, projek berkenaan juga membantu pelajar memanfaatkan ilmu pengetahuan ditimba di dalam kuliah.

Beliau berkata, pelajar terbabit antara lain dapat mengasah ilmu penyelesaian masalah kompleks, ketajaman daya fikir dan kreativiti, ketelitian komunikasi, keteguhan daya kepemimpinan serta semangat kerja berpasukan.

INFO

Aplikasi IoT

  • Dilengkapi sistem pemantauan masa nyata terhadap parameter penting seperti suhu persekitaran, kelembapan udara dan tanah serta kawalan injap paip, yang boleh turut dioperasikan secara dalam talian.
  • Pemantauan terhadap parameter juga dapat dilakukan menerusi komputer serta telefon pintar.
  • Membolehkan maklumat disimpan dalam sistem dan data disemak apabila perlu.
  • Membantu peningkatan jumlah penanaman projek fertigasi daripada 40 kepada 80 pokok cili.
213 dibaca
Berita Harian X