Ahad, 18 Disember 2016 | 1:46pm

Kos projek MRT: Dakwaan Rafizi disanggah


MRT Corp menempelak dakwaan Rafizi bahawa kos pembinaan Fasa 1 laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) menelan belanja sebanyak RM21 bilion sebagai "tidak betul sama sekali". - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: MRT Corp menempelak dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bahawa kos pembinaan Fasa 1 laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) menelan belanja sebanyak RM21 bilion sebagai "tidak betul sama sekali".

Dalam satu kenyataan hari ini, MRT menjelaskan kos RM21 bilion yang diumumkan dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pelancaran pengangkutan awam itu adalah kos pembinaan untuk Fasa 1 dan Fasa 2 laluan SBK sepanjang 51 kilometer (km).

"Fasa 1 membabitkan 21km untuk laluan SBK dari Sungai Buloh ke Semantan.

"Fasa Dua pula laluan sepanjang 9.5km membabitkan seksyen bawah tanah dari Semantan ke Maluri serta 20.5 km laluan dari Maluri ke Kajang.

"Jumlah kos diumumkan mengambil kira semua aspek termasuk kos logistik, teknologi dan penelitian ketat," katanya.

Semalam, Naib Presiden PKR itu mendakwa Perdana Menteri secara tidak langsung mengesahkan kos keseluruhan Projek Transit Aliran Massa (MRT) sepanjang laluan 141 kilometer boleh mencecah lebih RM100 bilion.

136 dibaca
Berita Harian X