Rabu, 10 Disember 2014 | 8:15pm

Realisasi hak asasi tanpa korban agama, budaya


Mangsa perang patut mendapat perlindungan dalam

Sempena Hari Hak Asasi Manusia hari ini; Sejak 1950, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 10 Disember (hari ini) sebagai Hari Hak Asasi Manusia, demi meningkatkan perhatian negara anggotanya terhadap Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948) sebagai standard umum keberhasilan pencapaian dan komitmen hak asasi manusia untuk semua bangsa.

Pada tahun ini, tema 'Hak Asasi Manusia 365' dipilih dengan iltizam memperkukuh gagasan bahawa 'setiap hari adalah Hari Hak Asasi Manusia'.

Tema ini berhasrat meraikan proposisi asas UDHR 1948 bahawa setiap manusia di seluruh pelusuk dunia, pada setiap saat berhak atas pelbagai macam hak asasi manusia, bahawa hak asasi manusia adalah milik bersama setiap individu dan mengikat setiap manusia bersama sebagai masyarakat sejagat dengan cita-cita dan nilai bersama.

Di Malaysia khususnya, pelbagai pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan meraikan hari itu sebagai memperbaharui komitmen mereka untuk melaksanakan citra hak asasi manusia yang dianggap sejagat.

Keghairahan mereka sepanjang dua dekad lalu jelas terzahir dengan munculnya pelbagai gerakan hak asasi manusia sama ada bersifat jalanan atau di forum antarabangsa yang menobatkan tokoh hak asasi manusia mereka sanjungi dan diharapkan dapat memperbetulkan kompas hak asasi manusia di Malaysia.

Gerakan hak asasi manusia

Justeru, timbul pelbagai gerakan mutakhir ini yang bergerak atas idea dan semangat berkenaan seperti Joint Action Group for Gender Equality (JAG) (yang ditubuhkan seawal tahun 1985), Interfaith Commission (IFC), Gabungan NGO Malaysia di dalam Proses UPR (COMANGO), BERSIH dan Negaraku.

Hasrat dan ketaksuban mereka hanya satu, iaitu supaya Malaysia lebih mematuhi prinsip sejagat hak asasi manusia yang pada hakikatnya mempunyai sejarah dan acuan liberal sekular Barat, berhujahkan bahawa mematuhi lebih banyak konvensyen dan instrumen hak asasi manusia antarabangsa adalah 'bukti kepatuhan standard' hak asasi manusia sesebuah negara.

Ini semua dilakukan dengan sokongan dan lobi berterusan NGO antarabangsa seperti Human Rights Watch, Amnesty International, Forum ASIA, International Gay and Lesbian Human Rights Commission (IGLHRC), International Commission of Jurists dan pelbagai NGO lain.

Sama ada gerakan itu memahami realiti sejarah, agama dan budaya Malaysia tidak menjadi ukuran penting. Sebaliknya, bagi NGO tempatan yang berkompromi dengan mereka, NGO antarabangsa itu penetap standard terbaik untuk Malaysia.

Tetapi benarkah wujud hanya satu acuan dan standard pencapaian hak asasi manusia yang dijunjung NGO itu? Persoalan ini timbul kembali dengan rancak khususnya pada majlis bersama CSO dan NGO mengenai Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) yang dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri di Bangi, 13 November lalu.

Pada 2012, kerajaan memulakan proses perbincangan dan perbahasan ke arah mewujudkan NHRAP dengan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika itu, ketika merasmikan Seminar on the Development of National Human Rights Plan of Action for Malaysia juga dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) pada 24 dan 25 Mei 2012, menggariskan empat inti pati penting dalam merangka NHRAP, iaitu:

1. Pemerkasaan hak asasi manusia menuntut komitmen serius daripada semua pihak berkenaa;.

2. Mengambil kira komitmen dibuat Kerajaan Malaysia pada Sesi Semakan Berkala Sejaga;

3. Mengenal pasti dan mengutamakan insiatif utama sedia wujud pihak kerajaan;.

4. Semua hasil NHRAP hendaklah mematuhi Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Perkara asas ini ditegaskan sekali lagi baru-baru ini oleh Menteri di JPM, Nancy Shukri, yang mahukan fokus NHRAP pada hak sivil dan berpolitik, hak ekonomi, sosial dan kebudayaan, golongan rentan, hak Orang Asli, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kewajipan antarabangsa - semuanya dipersiapkan menurut acuan dan realiti Malaysia.


Kempen yang dijalankan Human Right

Fokus lebih spesifik itu akan membantu negara menangani pelbagai isu hak asasi terutama membabitkan kes fahaman songsang seperti liberalisme dan sekularisme yang semakin menular di negara ini.

Penegasan perkara di atas adalah mesej jelas bahawa Malaysia tidak perlu terikat secara mutlak dengan semua nilai di dalam UDHR 1948.

Sikap konsisten kerajaan ini sebenarnya tidak bercanggah dengan kedudukan sedia ada, berdasarkan beberapa kes utama yang pernah diputuskan mahkamah tertinggi iaitu Merdeka University Berhad dan Kerajaan Malaysia pada tahun 1981.

Dalam kes itu, di Mahkamah Tinggi, antara hujah peguam Michael Biloff, bahawa penolakan petisyen plaintif bercanggah peruntukan Perkara 26 UDHR, ditolak Hakim Eusoffe Abdoolcader yang menegaskan "It (UDHR) is merely a statement of principles devoid of any obligatory character and is not part of our municipal law".

Dalam kes Mohamed Ezam Mohd Noor dan Ketua Polis Negara pada tahun 2002, Majistret Siti Norma CJ menjelaskan: "bahawa memandangkan prinsip-prinsip UDHR 1948 adalah bersifat 'Pengisytiharan' semata-mata, maka prinsip itu tidak mempunyai kuasa undang-undang atau mengikat negara anggota."

Dalam kes terkini, penghakiman Hakim Mohamad Ariff dalam kes antara SIS Forum dan Datuk Seri Syed Hamid Syed Jaafar Albar pada tahun 2010, mengulangi penegasan institusi kehakiman di negara ini apabila beliau menyatakan: "......in relation to the applicability of international norms....... the position adopted by the Malaysian courts has been not to directly accept norms of international law unless they are incorporated as part of our municipal law: See Merdeka University Berhad dan Kerajaan Malaysia pada 1981 sebagai contoh. I do not believe this position has changed even with the passing of section 4(4) of the Human Rights Commission Act 1999............"

Perbaharui iltizam Malaysia

Maka 10 Disember ini sepatutnya bukan semata-mata mengulangi prinsip hak asasi manusia berkerangka fahaman liberal sekular Barat, tetapi mesti menjadi titik tolak memperbaharui iltizam Malaysia dalam mengikuti prinsip sejagat hak asasi manusia selagi tidak bercanggah dengan kandungan Perlembagaan Persekutuan.

Usaha strategik dan artikulatif yang dikemudi pihak kerajaan perlu diperkukuh berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan latarbelakang sejarah, budaya dan agama.

Malah Perkara 5 Perisytiharan dan Pelan Tindakan Vienna 1993 (VDPA 1993) tidak mengetepikan terus hal-hal berkenaan.

Rujukan terhadap Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan adalah cerminan sumbangan Islam terhadap pemeliharaan hak asasi manusia, menurut pendekatan Maqasid al-Syari'ah.

Hak asasi bukanlah hak mutlak manusia kerana manusia bukanlah pemilik ke atas dirinya. Manusia dimiliki oleh Allah SWT maka diharamkan membunuh diri, walaupun nyawanya, duduk di dalam dirinya, dia tidak bebas untuk melakukan aksi yang bercanggah aturan fitrah. Nyawa dan dirinya bukan milik mutlaknya, tetapi milik Allah selaku amanah.

Konsep ini ditolak pemikiran Barat yang melihat hak asasi manusia sebagai bersifat anthroposentris, iaitu manusia menjadi ukuran segala-galanya dengan autonomi manusiawi, demokrasi, kebebasan sosial dan ekonomi dikuasai manusia tanpa panduan nilai agama dan budaya.

Manusia tak miliki kebebasan mutlak

Sebaliknya, Islam meletakkan manusia tidak boleh memiliki kebebasan mutlak, tetapi mesti dipandu syarak. Oleh yang demikian berdasarkan perspektif ini, NHRAP perlu digubal berpandukan pemeliharaan lima hak yang wajib, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan, termasuk nama baik, dan harta.

Pembabitan pemegang berkepentingan dalam kalangan pertubuhan masyarakat, termasuk NGO juga perlu dilakukan secara agresif dan menyeluruh serta berterusan menerusi perbincangan berkala demi melahirkan sebuah NHRAP yang tidak tinggal sebagai dokumen idealis semata-mata, tetapi benar-benar lahir dari hasrat hati setiap masyarakat Malaysia yang benar-benar memahami, menghayati dan menyanjung tinggi hak asasi manusia yang murni.

Hasrat dan aspirasi tema 'Hak Asasi Manusia 365 akan dapat direalisasikan dengan baik tanpa mengorbankan agama dan budaya atas nama kebebasan mutlak. Lantas mengingati tarikh 10 Disember setiap tahun akan menjadi lebih bermakna dan menjadi platform merekayasa acuan hak asasi manusia model Malaysia.

Penulis ialah peguam dan Ketua Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

48 dibaca
Berita Harian X