Khamis, 15 Disember 2016 | 11:21am

Putin godam maklumat pilihan raya AS - Media

WASHINGTON: Pegawai perisik Amerika Syarikat (AS) percaya Presiden Russia, Vladimir Putin terbabit secara peribadi dalam kes pencerobohan komputer ketika kempen pilihan raya AS sebagai membalas dendam terhadap calon Demokrat, Hillary Clinton.

Rangkaian televisyen NBC News melaporkan, Putin secara peribadi mengarahkan bagaimana bahan yang dicuri daripada Demokrat itu bocor dan digunakan, memetik kenyataan dua pegawai kanan yang ada akses kepada maklumatnya.


PRESIDEN Russia, Vladimir Putin. - Foto Reuters

Pegawai terbabit menegaskan mereka 'amat yakin' dalam penilaian baru itu.

Hujung minggu lalu, akhbar Washington melaporkan penilaian Agensi Perisikan Pusat (CIA) bahawa Russia menggodam emel peribadi dan institusi Amerika sebagai cara memastikan keputusan pilihan raya berpihak kepada calon Republikan, Donald Trump, yang berjaya menewaskan Clinton pada pilihan raya 8 November lalu.

Putin dikatakan tidak pernah memaafkan Clinton, yang ketika itu ialah Setiausaha Negara Amerika, kerana secara terbuka mempersoalkan integriti pilihan raya Parlimen Russia pada 2011, dan menuduh beliau menggalakkan bantahan jalanan.

Pegawai perisik memberitahu NBC matlamat Putin dalam dakwaan pencerobohan komputer itu bermula sebagai membalas dendam terhadap Clinton.

Namun ia berubah menjadi usaha lebih meluas untuk menunjukkan kepada dunia bahawa dunia politik Amerika dicemari rasuah dan bagi memecahkan sekutu Amerika dengan menghasilkan imej negara lain tidak boleh bergantung kepada Amerika untuk menjadi pemimpin global boleh dipercayai lagi.

Dalam persiapan bagi membalas tindakan itu, agensi perisikan Amerika meningkatkan siasatan terhadap kekayaan peribadi Putin, kata NBC, memetik kenyataan pegawai Amerika.

Trump, yang mesra Putin, menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut. - AFP

126 dibaca
Berita Harian X