Selasa, 13 Disember 2016 | 8:51pm

PM rasmi fasa pertama MRT, Sg Buloh-Semantan Khamis ini

KUALA LUMPUR: Fasa pertama Projek Aliran Transit Massa (MRT) Sungai Buloh-Semantan yang memulakan operasi Khamis ini, melakar kejayaan apabila siap dalam tempoh ditetapkan, malah membabitkan kos lebih rendah berbanding unjuran awal RM23 bilion ketika diumumkan lima tahun lalu.

Pengarah Projek MRT Corp laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), Marcus Karakashian, berkata penjimatan kewangan itu diraih susulan amalan pelaksanaan projek yang berteraskan sistem kelulusan secara berperingkat.

Sehubungan itu, katanya, pembiayaan kewangan untuk pelbagai pakej pembinaan yang disalurkan menerusi rantaian kerajaan, MRT dan kontraktor terbabit tidak diberikan secara sekali gus, sebaliknya berdasarkan keperluan dan penilaian semasa.

"Kos pembinaan keseluruhan projek ini tidak melangkaui unjuran awal seperti didakwa segelintir pihak sebelum ini, sebaliknya kita mempunyai penjimatan susulan proses pembiayaan yang telus dan berpandukan pengurusan secara konsisten.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh umumkan nilai penjimatan daripada peruntukan RM23 bilion untuk projek ini kepada umum," katanya selepas sesi penerangan prapelancaran MRT Jajaran SBK bersama media, di sini, hari ini.


LALUAN fasa satu MRT dari stesen Sungai Buloh ke stesen Kajang yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 15 Disember ini. - Foto Sairien Nafis

Difahamkan, nilai penjimatan projek MRT itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sesi pelancaran fasa pertama laluan Sungai Buloh-Semantan, pada Khamis.

Pasca lima tahun pembinaan MRT, fasa pertama SBK iaitu dari Sungai Buloh ke Semantan merangkumi 12 stesen dan jajaran sejauh 21 kilometer akan beroperasi sepenuhnya untuk kegunaan orang ramai, mulai Jumaat ini.

Kadar tambang untuk laluan fasa pertama itu adalah antara RM1 hingga RM3.90 untuk pengguna biasa, manakala pelajar, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas perlu membeli tiket di kaunter khidmat pelanggan untuk menikmati potongan harga sebanyak 50 peratus.

Kad MyRapid tidak diterima bagi jajaran SBK untuk sementara waktu kerana sistemnya masih dalam penyelenggaraan, justeru pengguna boleh menaiki tren dengan membeli tiket secara tunai atau menggunakan kad Touch N' Go.

Fasa kedua SBK iaitu dari Semantan ke Kajang merangkumi 19 stesen, sejauh 30 kilometer pula dijangka beroperasi sepenuhnya Julai tahun depan.

Karakashian berkata, keseluruhan projek MRT jajaran SBK ketika ini siap 94.47 peratus, justeru pihaknya optimis projek itu akan menepati jadual pembinaan dan kos yang diperuntukkan.

"Proses pembinaan membabitkan tujuh stesen bawah tanah pula setakat ini siap 95.88 peratus," katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik dan Hubungan Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah, berkata Prasarana Sdn Bhd dilantik sebagai operator yang akan mengendalikan penjualan tiket, aduan pengguna, operasi harian dan bas pengantara.

Beliau berkata, MRT Corp pula bertanggungjawab terhadap sebarang aduan mengenai pembinaan fasa kedua SBK dan jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).

147 dibaca
Berita Harian X