Selasa, 13 Disember 2016 | 4:15pm

PAS tak yakin PPBM mampu satukan pembangkang


PENGARAH Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

KUALA LUMPUR: PAS tidak yakin dengan keupayaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merapatkan semula hubungan antara PAS dengan DAP dan Parti Amanah Negara dalam usaha menyatukan pembangkang untuk berdepan Barisan Nasional pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berpendapat usaha merapatkan hubungan antara Muhyiddin (PPBM) dengan Datuk Seri Najib Razak (UMNO) lebih mudah berbanding usaha untuk merapatkan hubungan antara parti itu dengan DAP dan parti serpihan mereka.

Beliau berkata, kerenggangan UMNO dan parti serpihan mereka berkisar mengenai isu urus tadbir negara dan pengurusan dana awam, manakala perpecahan antara PAS dan DAP adalah berkaitan dengan sikap anti Islam dan perkauman tebal disokong Parti Amanah Negara.

"Selagi DAP meneruskan sikap anti Islamnya dan mengamalkan politik perkauman yang tebal, kemudian disokong pula oleh Parti Amanah Negara secara membuta-tuli, saya tidak lihat ada keupayaan untuk Muhyiddin melakukan sedemikian," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Malam tadi, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menolak tawaran bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang dikemukakan dalam ucapan pada Ceramah Mega Rakyat anjuran PAS Selangor sambil menegaskan parti Islam itu tidak mempunyai hubungan dengan DAP mahupun Parti Amanah Negara.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, berkata ruang untuk PAS menjalin semula hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara sudah tertutup sebagaimana diputuskan Majlis Syura Ulama parti itu.

Beliau berkata, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, PAS tidak mungkin akan memberi ruang kepada DAP dan khadam politiknya, Parti Amanah Negara untuk menang lebih banyak kerusi pada PRU akan datang, sekali gus akan membuka ruang kepada mereka untuk mendominasikan politik Malaysia.

"Sentimen akar umbi PAS dan pengundi yang cintakan kestabilan politik Malaysia dalam kalangan pelbagai kaum memberi isyarat yang sama iaitu mahu menyekat DAP daripada mendominasikan politik negara yang akan menyebabkan ketidakstabilan politik.

"Kestabilan politik Malaysia ini adalah sesuatu yang terlalu mahal harganya," katanya.

41 dibaca
Berita Harian X