;
Jumaat, 9 Disember 2016 | 9:57am

31 mula pendakian guna 'Kota Belud Trail'

RANAU: Seramai 31 orang melakukan pendakian Gunung Kinabalu menerusi laluan baharu 'Kota Belud Trail' yang dibuka secara rasmi, di Kundasang, dekat sini, pagi ini.

Upacara pelepasan pendaki yang membabitkan pasukan restorasi Gunung Kinabalu, media dan pendaki biasa itu disempurnakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Kamarlin Ombi di Timpohon Gate, Taman Kinabalu.

Terdahulu, Kamarlin berkata, laluan 'Kota Belud Trail' bakal menjadi daya tarikan baharu kepada pendaki dengan cabaran serta pemandangan Gunung Kinabalu yang berbeza daripada laluan sedia ada.

"Saya percaya pembukaan 'Kota Belud Trail' dengan konsep lebih mencabar, sudah pasti laluan ini bakal menjadi tarikan pelancong khususnya di kalangan penggemar aktiviti lasak," katanya.

Laluan sejauh 1.1 kilometer itu adalah laluan alternatif kepada pendaki selain 'Ranau Trail' yang mula dibuka sejak Disember, tahun lalu.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 32,550 orang mendaki Gunung Kinabalu sepanjang tempoh Januari hingga Oktober, tahun ini.

"Statistik ini menunjukkan kepada kita bahawa pendakian ke Gunung Kinabalu pulih sepenuhnya selepas kejadian gempa bumi, tahun lalu," katanya.

Pendakian Gunung Kinabalu pernah dihentikan sementara berikutan kejadian gempa bumi yang mengorbankan 18 nyawa termasuk pendaki dan malim gunung pada 5 Jun, tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas kejadian itu, pihak Taman-Taman Sabah (TTS) bersama pelbagai pihak lain mula 'menstrukturkan' semula pendakian ke puncak dengan membina laluan baharu sehinggalah ia dibuka semula pada 1 Disember 2015.

168 dibaca
PEMBANTU Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Kamarlin Ombi melancarkan laluan baharu pendakian Gunung Kinabalu, Kota Belud Trail di Timpohon Gate, di Kundasang. - Foto oleh Lano Lan
Berita Harian X