;
Khamis, 8 Disember 2016 | 10:30pm

2017 ulang tahun ke-100 industri sawit negara


MAH Siew Kiong di Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Sempena ulang tahun ke-100 industri sawit negara tahun depan, pelbagai program dirangka bagi mengangkat lebih tinggi martabat industri itu dan mengiktiraf sumbangan pekebun kecil.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Kiong berkata penanaman sawit secara komersial di negara ini bermula pada 1917 penanaman sawit di negara ini hanyalah dalam skala kecil dan tidak terancang namun dalam tempoh satu abad industri sawit khususnya sektor perladangan berkembang pesat.

Beliau berkata kini keluasan sawit negara menjangkau 5.64 juta hektar iaitu lebih 70 peratus daripada keseluruhan kawasan pertanian negara.

"Selama 100 tahun kita telah tertumpu sebagai penerima harga (price taker), namun dengan kemampuan yang ada kita harus beralih tumpuan kepada menjadi penentu harga (price maker) pada masa depan.

"Kita perlu menumpukan fokus menjadi penerima harga di sektor huluan (upstream) dan penentu harga di sektor hiliran (downstream) pula.

"Untuk merealisasikan hasrat menjadi penentu harga, kemajuan sains, teknologi dan inovasi adalah kunci utama kerana pada peringkat inilah kita dapat menetapkan harga tinggi ke atas produk kita yang berkualiti premium," katanya ketika berucap pada Malam Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Industri Sawit 2016 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Kilang Kelapa Sawit Sungai Jernih, Pekan, Pahang (Boustead Plantations Berhad) memenangi anugerah kategori kilang bagi pencapaian kadar perahan minyak (OER) tertinggi peringkat nasional yang melayakkannya menerima plak dan sijil penghargaan.

Siew Kiong berkata, komoditi bukan industri 'matahari terbenam' atau tiada masa hadapan kerana kekayaan negara pada masa depan akan ditunjangi oleh sektor komoditi yang lebih moden, kompetitif dan mapan.

"Kerajaan sedar bidang penyelidikan adalah asas pembangunan industri sawit negara serta kunci penjanaan pendapatan negara.

"Saya bangga kerana MPOB menjadi antara institusi penyelidikan yang konsisten menghasilkan pelbagai inovasi baharu dengan mencatatkan kadar pengkomersialan tertinggi iaitu 30.4 peratus," katanya.

254 dibaca
Berita Harian X