Selasa, 6 Disember 2016 | 12:33pm

Azmi Hatta akhirnya jenguk anak - Elly Mazlein


ELLY Mazlein. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Krisis antara Elly Mazlein dan bekas suaminya, Azmi Hatta mungkin sudah berakhir apabila pengarah itu dilihat melawat anak mereka, Putri Sara Sefhia buat pertama kali, hari ini.

Penyanyi dan pelakon itu, meluahkan rasa syukur menerusi akaun Instagram apabila ayah kepada bayinya yang kini berusia sembilan bulan melawat si kecil di kediamannya di Cyberjaya, pagi tadi.

"Syukur, Sefhia tidak menangis walau pun terlalu lama tidak berjumpa dengan bapanya. Semoga lawatan ini berterusan demi masa depan anak," kongsinya.

Sementara itu, menerusi status sama, Elly yang menyandang gelaran ibu tunggal selepas melahirkan Sefhia pada 9 Mac lalu seakan memberi peringatan supaya bekas suaminya mengutamakan kepentingan bayi berkenaan.

"Bercinta tidak salah, asalkan hak anak jangan disia-siakan. Jangan dihalang apabila bapa ingin berjumpa dengan anaknya dan jangan asyik bercinta sampai lupa darah daging sendiri," katanya.

Azmi dan Elly mendirikan rumah tangga pada November 2014 selepas bercinta beberapa tahun namun berpisah pada Oktober 2015 ketika Elly hamil empat bulan.

Terdahulu Elly menerusi kenyataan dalam sebuah akhbar memaklumkan, bekas suaminya itu tidak pernah melawat anak mereka sejak dia dilahirkan.

Kata bekas peserta Gegar Vaganza musim ketiga itu, pengarah terbabit langsung tidak datang menjenguk biarpun mahkamah memberinya hak lawatan sekali seminggu.

1810 dibaca
Berita Harian X