Sabtu, 3 Disember 2016 | 5:00pm
PESURUHJAYA PAS negeri, Rosli Abdul Jabar

PAS Pahang tak akan kerjasama dengan UMNO

KUANTAN: PAS Pahang tidak akan bekerjasama dengan UMNO dan akan terus menentang parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pesuruhjaya PAS negeri, Rosli Abdul Jabar, berkata sebarang usaha menjalin kerjasama politik dengan UMNO adalah tidak praktikal dan mustahil dilaksanakan.

"Jika kerjasama dalam perkara mendatangkan kebaikan kepada agama, negara dan rakyat... itu mungkin boleh berlaku, tidak ada masalah.

"Tapi, kalau kerjasama politik dengan UMNO... ia tidak akan berlaku, PAS akan tetap menentang UMNO dan mana-mana parti yang menentang prinsip perjuangan PAS," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rosli berkata, ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, ketika pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2016 kelmarin bukanlah satu kenyataan rasmi PAS dan pendirian PAS konsisten dalam isu membabitkan kepentingan Islam.

"Tidak ada gabungan politik sama sekali... tidak mungkin berlaku... kita pentingkan kesatuan ummah... itu saja.

"Begitu juga isu membabitkan Rang Undang-Undang 355, ia adalah untuk memperkasakan peranan Mahkamah Syariah... terpulang kepada PKR dan DAP jika mereka tidak mahu menerima, itu hak mereka.

"PAS laksanakan amanah dalam usaha membawa akta itu bagi kebaikan umat Islam di negara ini... mereka menentang ini biasanya kumpulan tidak mahu melihat akta yang boleh memberi kebaikan kepada Islam ," katanya. 

123 dibaca
Berita Harian X