Sabtu, 26 November 2016 | 12:30am

Elly Mazlein tumpu tunai amanah Allah

KUALA LUMPUR: Sejak kebelakangan ini, bahang populariti wanita berstatus ibu tunggal ini cukup menghangatkan dunia seni.

Mungkin lebih dikenali sekarang berbanding ketika mula menjadi artis rakaman pada tahun 1997, Elly Mazlein terus mengumpan peminat baharu.

Pada masa sama, penyanyi dan pelakon ini terus mengekalkan pengikut setia yang selama ini menyaksikan jatuh bangun wanita cekal ini dalam industri hiburan.


PESERTA Gegar Vaganza (GV3), Elly Mazlein. - Foto Shazreen Zamzuri

Sejak menyertai musim ketiga program realiti, Gegar Vaganza (GV3), Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, mencuri tumpuan ramai. Biarpun sekadar bertahan hingga minggu keempat, Elly meninggalkan impak besar terhadap program itu sehingga penyingkirannya daripada pentas GV3, mencetus bantahan ramai.

Perempuan meroyan, kemaruk publisiti, tagih simpati dan 'ting tong' menjadi antara gelaran diberi kepada Elly. Namun, sebagai wanita cekal, kritikan dan kata-kata nista yang dilemparkan terhadapnya dianggap bagai angin lalu.

BH Plus berpeluang menemui Elly di kediamannya, Isnin lalu bagi mendasari hati wanita ini.

Membuka cerita, Elly mengaku perpisahan dengan bekas suami meninggalkan kesan cukup besar. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, Elly mengaku dirinya cukup trauma dengan lelaki selepas mahligai yang dibina runtuh.

"Sejujurnya, saya trauma untuk mengenali lelaki selepas bercerai kerana melalui pelbagai dugaan yang hebat. Kekuatan saya pada hari ini adalah anak.

"Saya meletakkan fokus untuk membesarkan Putri Sara Sefhia iaitu amanah Allah kepada saya.

"Saya sering mendambakan perkahwinan yang bahagia dan diberi zuriat. Jadi, tidak mungkin saya mensia-siakan rezeki kurniaan Tuhan," katanya sambil memangku anak di riba.

Elly mengaku selepas melahirkan Sefhia, rezekinya melimpah ruah.


ELLY bersama anaknya, Putri Sara Sefhia. - Foto Fariz Iswadi Ismail

"Jadi, saya bekerja keras untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada anak saya.

"Buat masa ini, pintu hati saya tertutup rapat untuk bercinta. Ini kerana saya tidak mahu melalui semula detik hitam yang sangat perit. Apa yang dilalui bersama bekas suami membuatkan saya menjadi takut untuk mengenali lelaki," katanya.

Elly dan bekas suaminya, Azmi Hatta, 41, berkahwin pada 9 November 2014 dan bercerai pada 15 Oktober 2015 ketika Elly hamil empat bulan.

Elly melahirkan cahaya mata perempuan, Sefhia, pada 9 Mac lalu.

Doa pengkritik berubah hati

Enggan mengenang episod hitam dalam hidup, Elly cekal bergelar ibu tunggal membesarkan cahaya mata sulungnya itu.

Elly memilih untuk memekakkan telinga dan tidak mempedulikan tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

"Biarlah apa yang orang hendak kata. Ini kerana keluarga tahu siapa sebenarnya diri saya. Lebih baik tidak melayan aura negatif kerana ia hanya akan membuatkan kita lebih tertekan berdepan dengan situasi itu.

"Jadi, saya memilih untuk menerima saja semuanya dengan hati terbuka," katanya.

Namun, Elly berkata, jauh di sudut hatinya, dia berdoa individu yang membencinya supaya berubah hati.

"Saya berdoa mereka yang membenci saya dapat membuka pintu hati untuk menyukai saya.

"Biasalah, kita tidak menyukai semua orang. Mungkin golongan yang tidak menyukai saya itu tidak mengenali saya secara peribadi," katanya.

Diburu pengeluar produk

Sambil melirik senyuman, Elly enggan lagi berbicara mengenai program kontroversi, GV3 yang menghambat dirinya.

Bukan kata-kata dan kritikan saja dilemparkan terhadapnya, malah Elly melihat sendiri 'percakaran' di alam siber antara peminat dan pengkritiknya.

Jelas wanita ini, dia tidak mahu lagi berbicara mengenai perkara negatif sebaliknya fokus kepada masa depan.

Namun, Elly nekad enggan membiarkan kerjaya seninya bernoktah di pentas GV3. Biarpun gagal melangkah ke pusingan akhir, Elly sibuk merencana kerjaya seni.

"Jadual kerja saya sudah terisi hingga Mac tahun hadapan. Saya sampai tiada masa untuk merakamkan single terbaharu. Apa yang pasti, saya tidak mahu mengecewakan peminat yang banyak menyokong perjalanan seni saya," janjinya.

Elly mengaku biarpun pernah popular suatu ketika dulu, impak GV3 terhadap kariernya sekarang jauh lebih hebat dan sukar digambarkan.

"Saya terharu dengan sokongan dan kata-kata positif peminat apabila nama saya menjadi bualan hangat. Sekarang, saya jadi makin kuat dengan ucapan indah yang diberi semua pihak," katanya.

Biarpun keputusan imuniti tidak berpihak kepada Elly pada GV3, dia menerima keputusan penaja dan penganjur dengan hati terbuka. Baginya, pendedahan yang diberi penerbit GV3 berjaya melonjakkan namanya di persada seni tempatan.

"Mungkin juga rezeki anak, berderu-deru mesej melalui WhatsApp diterima daripada pengeluar produk yang menawarkan saya menjadi duta.

"Selepas dipilih sebagai duta pakaian Neng Geulis, beberapa jenama turut mengintai peluang untuk menampilkan saya sebagai wajah mereka," katanya.

Dana pendidikan untuk anak

Bercerita mengenai buah hatinya, Elly terkejut peminat menghadiahkan gelang tangan emas kepada Sefhia.

"Saya baharu menerima gelang tangan emas pemberian peminat dari Johor. Terkejut kerana tidak sangka mulia sungguh hati pengirim memberi hadiah istimewa untuk cinta hati saya," katanya.

Elly berkata, dia perlu bekerja keras bagi memastikan masa depan Sefhia terjamin.

"Saya mengambil langkah menyediakan dana pendidikan buat anak perempuan saya kerana bekas suami juga sudah lama tidak datang menjenguk," katanya.

Andai kata dapat menggubah takdir, Elly yang dikenali dengan perwatakan manja itu menjelaskan, dia sama sekali tidak mahu memikul gelaran janda.

Selain anak, Elly turut berterima kasih kepada bapa yang juga menjadi tulang belakangnya.

Elly mengakui gelaran ibu tunggal bukanlah satu perkara yang mudah untuk dipikul wanita sepertinya, lebih-lebih lagi dengan usia zuriat yang belumpun mencecah setahun.

INFO:

  • Berasal dari Slim River, Perak.
  • Popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan, Janji Kekasih dan Bungaku Bakawali.
  • Memulakan kerjaya sebagai pelakon selepas disunting oleh pengarah, Yusof Haslam untuk membintangi drama bersiri, Gerak Khas.
  • Karier nyanyian terhenti seketika pada tahun 2005 kerana faktor pasaran dan kontrak rakaman.
  • Memiliki lima album iaitu Sutera Kasih (1997), Satu Persatu (1999), Elly (2001), Atas Nama Cinta (2003) dan Sabarlah Hati (2013)
  • Selepas minggu keempat, Elly tersingkir daripada pentas GV3 dan mengaku kecil hati dengan komen juri, Datuk Ramli MS.
  • Kisah rumah tangganya kecoh apabila pelakon, Faye Kusairi atau nama sebenarnya, Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 29, dikatakan menjadi punca perpisahan.
897 dibaca
ELLY mengaku dirinya cukup trauma dengan lelaki selepas mahligai yang dibina runtuh. - Foto Fariz Iswadi Ismail
ELLY bekerja keras bagi memastikan masa depan Sefhia terjamin. - Foto Fariz Iswadi Ismail
ENGGAN mengenang episod hitam dalam hidup, Elly cekal bergelar ibu tunggal membesarkan cahaya mata sulungnya itu. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Berita Harian X