Rabu, 23 November 2016 | 10:17pm

Buah bambangan berpotensi hasilkan produk bernilai tinggi

KOTA KINABALU: Penemuan khasiat kesihatan buah bambangan membuka peluang kepada usahawan tempatan di Sabah untuk menghasilkan produk nilai tambah berkualiti tinggi buah eksotik itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, berkata pengeluaran jus buah bambangan adalah antara produk baharu mula dikembangkan yang kini diusahakan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari Kampung Pengalat Kecil, Papar.


TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah. - Foto Edmund Samunting

"Rosmah Ajumarih (usahawan Rass Enterprise) dari Kampung Pengalat Kecil, Papar pernah mengikuti Kursus Pemprosesan Kordial dan Jus anjuran Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidiakan negeri dan MARDI pada 2014.

"Kini beliau mengeluarkan kira-kira 3,000 botol bersamaan 1,000 liter jus bambangan dengan nilai pasaran RM12,000 sebulan," katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Shu Kiah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, berkata produk jus bambangan adalah antara contoh kejayaan usaha Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah membangunkan usahawan sara diri di negeri ini.

"Dahulu (bambangan) hanya menjadi hidangan keluarga, diparut dan dijadikan ulam yang dimakan bersama ikan masin tetapi kini ada pengusaha memprosesnya membuat jus.

"Kalau dulu buah ini hanya dijual di tamu tetapi kini jus bambangan dijual di pasar raya dan dijangka terus berkembang berikutan penemuan kajian khasiat kesihatan buah berkenaan," katanya.

Shu Kiah berkata, Sabah mempunyai lebih 100 produk yang memiliki kelebihan daya saing untuk dimajukan dan dipasarkan secara meluas hingga ke pasaran antarabangsa.

"Setakat ini, sebanyak 42 jenis produk keluaran PKS dari Sabah berjaya memasuki rantaian pasar raya G-Mart di sekitar pantai barat negeri ini. Kita menyasarkan 440 produk dapat menembusi premis penjualan yang lebih banyak menjelang tahun 2020 dengan nilai jualan dianggarkan RM528 juta," katanya.

323 dibaca
Berita Harian X