Khamis, 17 November 2016 | 12:30pm

Semakin ramai orang muda muflis

KUALA LUMPUR: Seramai 1,157 individu di bawah umur 25 tahun diisytiharkan muflis dalam tempoh 2012 hingga September 2016.

Sementara itu, sebanyak 22,581 kes muflis direkodkan membabitkan individu berumur 25 hingga 34 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata seseorang boleh diisytiharkan muflis oleh mahkamah apabila gagal atau tidak upaya untuk membayar hutang tidak kurang daripada RM30,000.

Beliau berkata, setiap tahun jumlah kes muflis yang ditadbir Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) semakin meningkat.

"Antara kes tertinggi menyebabkan muflis adalah kegagalan melunaskan pinjaman sewa beli kenderaan sebanyak 26,801 kes, diikuti pinjaman peribadi (22,153 kes) dan pinjaman perumahan (18,819 kes).

"Bagi tempoh sama, statistik menunjukkan 5,320 kes membabitkan penjamin sosial dan 2,910 kes membabitkan penjamin korporat, ditadbir oleh MdI," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jalil Marzuki pada Majlis Sijil Pelepasan Bankrap, di sini. Yang hadir sama, Ketua Pengarah MdI, Datuk Abdul Rahman Putra Taha.

Pada majlis itu, seramai 3,817 individu menerima Sijil Pelepasan daripada Ketua Pengarah Insolvensi untuk tempoh Januari hingga September 2016.

Sementara itu, sebanyak 97,215 kes dikendalikan MdI bagi tempoh 2012 hingga September 2016.

286 dibaca
Berita Harian X