;
Rabu, 9 November 2016 | 9:25pm

MRT Corp anugerah 2 pakej projek SSP


Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menganugerahkan dua pakej kerja jejambat kepada dua syarikat pembinaan bagi projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).

MRT Corp, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan Pakej Kerja V204 untuk membina dan menyiapkan jejambat MRT dan kerja berkaitan dari Bahagian Selatan Bandar Malaysia ke Kampung Muhibbah diberikan kepada WCT Berhad.

Bagi Pakej Kerja v208 pula, ia membabitkan kerja yang sama dari Taman Pinggiran Putra ke Persiaran Alpina, yang dipertanggungjawab kepada MTD Construction Sdn Bhd.

Tender Pakej Kerja v208 itu dibuka untuk syarikat Bumiputera bermula pada 28 Jun hingga 6 September lalu di mana sebanyak tiga tender dikemukakan.

Nilai kontrak dua projek berkenaan masing-masing adalah RM896.41 dan RM678.68 juta.

Penganugerahan dua pakej kerja itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selepas mempengerusikan satu Mesyuarat Perolehan Sehenti.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata pihaknya mengalu-alukan penganugerahan berkenaan, selain yakin dua pihak terbabit bakal membawa satu kejayaan dan manfaat kepada Projek MRT.

Katanya, kontraktor terbabit terkenal dengan rekod prestasi mereka yang cemerlang dalam industri pembinaan.

"Ini adalah perkembangan yang baik untuk Projek MRT kerana pengalaman syarikat berkenaan akan membawa faedah kepada kerja pembinaan Laluan SSP," katanya.

Selain itu, katanya, MRT Corp juga mempunyai hubungan kerja yang baik dengan MTD Construction susulan syarikat itu juga adalah kontraktor pakej kerja untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

"MTD Construction adalah kontraktor pakej kerja untuk Pakej Kerja V7 untuk membina jejambat MRT dari Bandar Tun Hussein Onn ke Taman Mesra berhampiran Kajang.

"Mereka (dua syarikat itu) dipilih berdasarkan penilaian tender terbaik, di mana penilaian dibuat atas aspek teknikal dan aspek komersial berdasarkan tender masing-masing," katanya.

240 dibaca
Berita Harian X