Isnin, 7 November 2016 | 11:49am
ROLANDO Espinosa Sr, Datuk Bandar Albuera di tengah wilayah Leyte. - Foto EPA

Seorang lagi datuk bandar Filipina ditembak mati


ROLANDO Espinosa Sr, Datuk Bandar Albuera di tengah wilayah Leyte ditembak dalam bilik penjaranya. - Foto EPA

MANILA: Seorang datuk bandar Filipina ditembak dalam bilik penjaranya dalam apa yang disifatkan sebagai pertempuran bersenjata dengan polis.

Kematian beliau menjadi pembunuhan kedua dalam minggu ini membabitkan ahli politik yang dikaitkan dengan dadah oleh Presiden Rodrigo Duterte.

Rolando Espinosa Sr, Datuk Bandar Albuera di tengah wilayah Leyte, ditembak pada awal pagi 5 November lalu selepas dilaporkan menembak pegawai polis ketika serbuan ke atas penjara yang menempatkan beliau.

Rakan sebiliknya turut maut dalam serangan itu. Polis menyerbu penjara Baybay untuk mencari senjata dan dadah.

Espinosa ialah sebahagian daripada senarai lebih 160 hakim, datuk bandar, ahli perundangan, polis dan anggota tentera yang dikaitkan Duterte secara terbuka dengan perdagangan dadah terlarang pada Ogos dan diarahkan menyerah diri untuk disiasat, ketika beliau meningkatkan kempen memerangi dadah di negara itu.

Beliau juga mengarahkan lesen senjata mereka yang tersenarai ditarik balik.

Espinosa menyerah diri kepada ketua polis tidak lama selepas dinamakan dan dibebaskan, tetapi ditahan semula bulan lalu selepas didakwa atas tuduhan membabitkan dadah dan senjata api.

Anak lelakinya, juga didakwa tauke dadah, ditahan di Abu Dhabi pada bulan lalu.

Sesetengah pihak mempersoalkan cara kematian Espinosa, tertanya-tanya bagaimana beliau memperoleh senjata dan apa yang membuatkan mereka menyerang polis dari dalam bilik sel.

Seminggu lalu, polis membunuh seorang lagi datuk bandar dan sembilan pengikutnya dalam satu lagi pertempuran bersenjata.

Samsudin Dimaukom menjadi Datuk Badnar Ampatuan sejak 2013.

Beliau dan pengikutnya dikatakan dibunuh ketika menembak pasukan narkotik yang menahan konvoi mereka untuk diperiksa. - AGENSI

462 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »