Isnin, 7 November 2016 | 8:10am

Tiada dakwaan jenayah terhadap Hillary Clinton - FBI


CALON Demokrat, Hillary Clinton. - Foto Reuters

WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI), pada Ahad, bertegas dengan pendirian awal bahawa tiada dakwaan jenayah dikeluarkan terhadap calon Demokrat, Hillary Clinton, kerana menggunakan server e-mel peribadi untuk kerja kerajaan.

Pengarah FBI, James Comey, membuat pengumuman itu dalam surat kepada Kongres, berkata agensi berkenaan bekerja 'sepanjang masa' untuk melengkapkan penilaian semula ke atas emel yang baru diketahui dan mendapati tiada sebab untuk mengubah pendirian mereka yang dibuat Julai lalu.

"Ketika proses itu, kami menilai semula semua komunikasi kepada atau daripada Hillary Clinton ketika beliau masih menjadi Setiausaha Negara.

"Kami tidak mengubah rumusan yang dibuat Julai lalu," katanya.

Seorang pegawai penguat kuasa undang-undang memberitahu keputusan itu menutup siasatan FBI ke atas amalan emel Clinton.

Comey memaklumkan kepada Kongres mengenai emel yang baru diketahui lebih seminggu lalu, menyebabkan persaingan ke Rumah Putih menjadi kecoh dan mengurangkan jurang Clinton mengatasi calon Republikan, Donald Trump, dalam saki baki kempen menjelang hari pemilihan Selasa ini.

"Kami gembira isu ini sudah diselesaikan tetapi untuk rekod, ia dengan mudah boleh diketahui sebelum surat pertama dihantar," kata jurucakap Clinton, Brian Fallon, di Twitter.

Republikan, bagaimanapun tidak mengurangkan kritikan terhadap Clinton.

"Beliau percaya beliau mengatasi undang-undang dan selalu membuat peraturan sendiri," kata Speaker Dewan Perwakilan, Paul Ryan, dalam kenyataan yang menyifatkan penggunaan emel peribadi Clinton menjejaskan keselamatan negara. - REUTERS

90 dibaca
Berita Harian X