Sabtu, 5 November 2016 | 3:35pm

Kaitan dadah, Datuk Bandar Filipina ditembak mati


GAMBAR fail bertarikh 5 Oktober 2016 menunjukkan Datuk Bandar Filipina, Rolando Espinosa diiringi pegawai berikutan penangkapannya atas kesalahan terbabit dalam pengedaran dadah di Albuera, Pulau Leyte, Filipina. - Foto EPA

MANILA: Seorang Datuk Bandar di Filipina yang didakwa Presiden Rodrigo Duterte sebagai terbabit dalam pengedaran dadah, ditembak mati di dalam penjara, hari ini.

Datuk Bandar kawasan Albuerta di Leyte, pulau di tengah Filipina, Rolando Espinosa adalah pegawai rasmi tempatan kedua yang dibunuh ekoran pembabitan dengan aktiviti dadah.

Duterte, 71, menang pilihan raya pada Mei lalu dengan janji membunuh berpuluh-puluh ribu penjenayah untuk menghalang Filipina daripada menjadi sebuah negara dadah.

Sejak itu, beliau melancarkan operasi memerangi dadah besar-besaran yang menyaksikan lebih 4,000 dibunuh, setakat ini.

Beliau sebelum ini menamakan beberapa pegawai tempatan, anggota polis dan beberapa hakim atas pembabitan dengan pengedaran dadah serta menggesa mereka supaya menyerah diri.

Ogos lalu, beliau menuduh Espinosa dan anak lelakinya terbabit dalam mengedar dadah.

Duterte menggesa mereka menyerah diri dengan memberikan arahan tembak sebaik dikesan, jika kedua-dua individu itu cuba mengelak penahanan.

Datuk Bandar Espinosa kemudian menyerah diri kepada ketua polis negara, sambil menyatakan beliau bimbang dengan ancaman nyawa dan kemudian ditahan, pada bulan lalu.

Namun awal pagi ini, polis memaklumkan Espinosa terbunuh dalam sel beliau di penjara wilayah selepas bertindak menembak beberapa anggota penguatkuasa dalam satu penggeledahan senjata haram.

"Beliau menembak pasukan penggeledah. Mereka terpaksa membalas tembakan dan ia menyebabkan kematian beliau" kata Ketua Inpsektor wilayah, Leo Laraga kepada AFP

477 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »