Sabtu, 5 November 2016 | 12:20am
bhplus sg kotor

Najis babi ancam ekonomi nelayan dan pantai Morib

TANJUNG SEPAT: Ketiadaan penyelesaian terhadap isu pencemaran najis babi sekitar daerah Kuala Langat di sini, bukan setakat menghimpit penduduk, malah menimbulkan pelbagai kesan buruk kepada sektor ekonomi dan pelancongan setempat.

Pelupusan sisa dan najis babi yang gagal dibuat dengan sempurna, menyebabkan ia terkumpul sekitar pantai, kuala sungai dan tanjung, hingga menyebabkan pencemaran menjejaskan semua pihak.

Najis babi juga didakwa mula mengalir ke kawasan pelancongan sekitar perairan Bagan Lalang serta mencemari Pantai Morib, yang menjadi tumpuan ramai terutama padang hujung minggu dan cuti umum.


SISA ternakan dan najis babi yang disalurkan ke sungai menyebabkan pencemaran hingga merosakan ekosistem kawasan sekitar Kampung Batu Laut. Foto Hafiz Sohaimi

Pencemaran sekitar Kampung Batu Laut yang juga penempatan tertua di daerah Kuala Langat, kini semakin buruk apabila sungai sekitar kawasan itu terutama Sungai Giling dicemari teruk oleh najis babi.

Malah, pencemaran najis babi menyebabkan penduduk Tanjung Layang yang suatu ketika dulu terkenal dengan pengeluaran belacan, terpaksa menghentikan perusahaan kecil terbabit sejak enam tahun lalu.

Situasi itu meresahkan penduduk tempatan, kerana Sungai Mesuk menempatkan pangkalan yang menjadi tumpuan lebih 100 nelayan kecil, yang dikhuatiri berdepan nasib sama kerana ketika ini, penternakan babi berselerak tanpa kawalan.

Penduduk khuatir, pengusaha ternakan babi membuat saluran 'haram' ke sungai itu sebagai cara mudah bagi melupuskan sisa dan najis seperti sudah dilakukan terhadap Sungai Giling selama ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pangkalan Sungai Mesuk, Jamaluddin Bulat, berkata pihaknya pernah mengesan perbuatan itu beberapa tahun lalu, namun sempat dicegah sebelum pencemaran semakin parah terhadap sungai terbabit.


SUNGAI Giling antara saliran teruk tercemar berikutan menjadi antara laluan utama najis babi untuk disalurkan ke lautan. - Foto Hafiz Sohaimi

"Ketika itu, kami mendapati air sungai yang mengalir ke laut keruh serta berbau busuk. Perkara pertama yang kami jangka adalah sungai mula diceroboh penternak babi berdekatan.

"Jangkaan kami tepat apabila menemui satu saliran dibuat penternak yang menyalurkan air pembersihan kandang babi ke dalam sungai ini. Kami segera membuat bantahan dan saliran itu kemudiannya ditutup," katanya kepada BH.

Jamaluddin berkata, tidak mustahil kejadian itu berulang kerana kandang babi sekitar kawasan itu terlalu banyak dan tidak diurus dengan baik.

"Inilah yang terjadi kepada Sungai Giling dan jeti nelayan Tanjung Layang apabila penternak membuat saliran untuk menyalurkan sisa najis ke sungai yang mengalir ke laut.

"Najis tidak merebak ke tengah laut sebaliknya berkumpul di pantai dan dalam sungai sehingga menyebabkan tanah dan pantai bertukar hitam serta berbau busuk," katanya.

Jamaluddin berkata, dilema yang dihadapi penduduk Tanjung Sepat khususnya sekitar Kampung Batu Laut sudah lama dan tidak berkesudahan kerana tiada tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.


SEBAHAGIn daripada ternakan babi yang dijalankan secara berselerak sekitar Kampung Batu Laut. - Foto Hafiz Sohaimi

"Isu babi di kampung ini bukan perkara baharu dan sudah berlarutan sejak berpuluh tahun lamanya. Ketika ini hanya tinggal dua jeti yang masih bertahan, namun kami tidak tahu apa nasib selepas ini," katanya.

Keresahan penduduk Kampung Batu Laut memang berasas kerana bau busuk menyelubungi hingga membuatkan rasa loya, terpaksa diharungi sepanjang tempoh penulis bersama jurugambar, mengekori penduduk meninjau kawasan terjejas akibat pencemaran najis babi di situ.

Walaupun terletak kira-kira satu kilometer dari laut, namun tiada langsung udara segar pantai atau paya bakau menyelubungi kampung terbabit, sebaliknya hanya bau busuk menerpa ke hidung.

Tinjauan ke Sungai Giling, umpama melawat loji kumbahan najis terbiar ekoran air yang dialirkan berwarna hitam pekat.

Tiada hidupan mampu menjadikan saliran itu sebagai habitat, walaupun suatu ketika dulu, Sungai Giling yang terletak bersebelahan jalan utama, kira-kira enam kilometer dari Pantai Morib itu, menjadi habitat udang galah

Bau sungai yang terlalu busuk membuatkan penduduk kampung yang menemani tinjauan ke situ juga tidak tidak sanggup berada lama di lokasi terbabit.

Ketua Kampung Batu Laut, Mohamad Azam Hashim, 45, berkata pencemaran bau semakin teruk jika hujan lebat dan air sungai yang pasang melimpah memasuki kebun sawit bersebelahan serta jalan raya.

Bau busuk itu mampu boleh sampai sehingga empat kilometer dan mengganggu jemaah Masjid Inayyatur Rahman di kampung itu.

Suasana serupa turut dirasai ketika meninjau jeti nelayan Tanjung Layang, terletak kira-kira tiga kilometer dari Sungai Giling, yang sudah tidak digunakan sejak enam tahun lalu kerana dicemari najis babi.

Walaupun mempunyai jalan masuk, namun sejak jeti itu tidak lagi digunakan nelayan, kawasan sekitar ditumbuhi semak samun termasuk pokok bakau meliar.

Aliran najis babi menyebabkan selut dan air sekitar pangkalan nelayan terbabit turut berwarna hitam.

Tinjauan ke lokasi penternakan babi sekitar kampung itu mendapati kandang haiwan terbabit yang berselerak sekitar kebun sawit dan tepi jalan dalam tanah persendirian, begitu hampir dengan rumah penduduk setempat.

Semua pemilik kandang babi terbabit tidak tinggal di kawasan kampung itu, sebaliknya hanya diawasi pekerja mereka.

Ada dalam kalangan penternak sengaja membina pagar zink tinggi untuk mengelakkan pengguna jalan raya mengetahui aktiviti penternakan dijalankan di situ, manakala sebilangan menternak dalam ladang kelapa sawit.

Di kebanyakan kandang, mereka mengorek lubang besar dipercayai untuk dijadikan tangki septik namun menjelang malam, saliran tangki itu dibuka dengan sisa najis babi disalurkan ke sungai yang mengalir ke laut.

Kegiatan yang sudah berlarutan selama berpuluh tahun itu, menyebabkan Kampung Batu Laut dipercayai kampung tertua di daerah Kuala Langat, berdepan pencemaran bau busuk yang teruk, walaupun berada di tepi laut dengan pemandangan cantik.

Tamat...

tamat

754 dibaca
JETI nelayan Sungai Mesuk berdepan situasi tidak menentu ekoran ternakan babi tidak dikawal dan berselerak sekitar Kampung Batu Laut. Foto Hafiz Sohaimi
SISA ternakan babi disalirkan ke sungai menyebabkan saliran sekitar Kampung Batu Laut kini tercemar. Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X