;
Khamis, 3 November 2016 | 10:34pm

Khairy harap keputusan ISTAF tak jejas atlet takraw


KHAIRY menandatangani pada bola bersama wakil Pengadil FAM, Mohd Hariff Md Akhir (kanan) ketika majlis pelancaran Kursus Asas Kepengadilan Sukan (Bola Sepak-Sepak Takraw-Bola Jaring) 1 Belia 1 Pengadil (1B1P) di PWTC, hari ini. Turut kelihatan, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua'amar Ghadafi Jamal (tengah). - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berharap tindakan yang bakal dikenakan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) terhadap Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak akan menjejaskan program persediaan atlet sukan berkenaan.

Ia susulan tindakan pemain Malaysia memulaukan perlawanan regu kedua peringkat akhir berpasukan Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand ke-31 di Bangkok pada 23 Oktober lalu.

"Saya difahamkan, ISTAF sedang melihat isu ini dan saya serah kepada ISTAF untuk mengambil sebarang tindakan.

"Saya berharap keputusan ISTAF tidak akan menjejaskan program persediaan atlet dalam Program Podium atau Kita Juara. Bagaimanapun, kita kena tunggu dahulu apa tindakan ISTAF," kata Khairy pada sidang media selepas menutup persidangan Majlis Perundingan Belia Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut laporan akhbar baru-baru ini, sembilan pemain negara serta pegawai pasukan yang disenaraikan dalam perlawanan akhir itu, bertindak memulaukan pertandingan selepas regu pertama negara tewas kepada regu Thailand.

Setiausaha Agung ISTAF Abdul Halim Kader dalam kenyataan media pada Jumaat lepas, memaklumkan sembilan pemain negara, pegawai pasukan dan pihak-pihak berkaitan bakal dipanggil Lembaga Siasatan persekutuan itu, sebelum dikenakan sebarang tindakan kerana insiden berkenaan memalukan pihak tuan rumah. - BERNAMA

247 dibaca
Berita Harian X