Rabu, 2 November 2016 | 12:00am

Bintangor terkenal dengan limaunya

SARIKEI: Rasanya lebih masam berbanding limau Mandarin, namun limau Bintangor atau lebih dikenali sebagai 'Gi Giang' dalam bahasa Foochow mendapat permintaan tinggi di pasaran kerana dipercayai mengandungi pelbagai khasiat.

Biarpun saiznya kecil berbanding limau Mandarin, limau Bintangor digemari kerana antara lain mempunyai kandungan Vitamin C lebih tinggi.

Justeru, tidak menghairankan apabila tanaman itu muncul antara produk pertanian utama di wilayah tengah Bumi Kenyalang, khususnya di Bintangor, termasuk Sarikei dan kawasan sekitarnya, dengan kebanyakannya diusahakan secara tradisi oleh masyarakat Cina.

Malah, kunjungan ke pekan Bintangor seolah-olah tidak lengkap tanpa membeli buah limau berkenaan sebagai buah tangan, sekali gus memperlihatkan potensinya dalam membantu mempromosikan pekan itu sebagai tarikan pelancongan.

Pengusaha Limau Bintangor, Elizabeth Chiew Peng, 43, berkata limau berkenaan hanya berbuah pada musim panas dari Mac hingga Jun setiap tahun, dengan hasil tuaian diperoleh bukan hanya bagi menampung pasaran tempatan, bahkan dieksport ke beberapa negara jiran.

Katanya, untuk melariskan jualan, mereka tidak perlu pergi jauh dan hanya mendirikan pondok kecil di tepi jalan bagi menarik perhatian pelanggan.


SEORANG pengunjung menunjukkan buah limau Bintangor. - Foto Khalid Latip

LIMAU Bintangor sentiasa mendapat permintaan tinggi pengemarnya walaupun sedikit masam. - Foto Khalid Latip

"Sepanjang Mac hingga Jun setiap tahun, pekan Bintangor masih berubah wajah dengan kehadiran pondok jualan seolah-olah berlangsungnya `Pesta Limau Bintangor'. Ada yang membelinya untuk kegunaan sendiri, tidak kurang pula yang membeli dengan jumlah banyak untuk dijual di tempat lain.

"Harga ditawarkan antara RM3 hingga RM6 sekilogram bergantung kepada kualiti dan saiz buah. Bagaimanapun, jika mahu lebih murah, pelanggan boleh membelinya terus dari kebun," katanya.

Bagi seorang lagi pengusahanya, Lim Hi Peng, 32, berkata limau berkenaan mendapat namanya kerana ia hanya boleh diperoleh di pekan berkenaan, malah sudah menjadi ikon pekan Bintangor.

"Ia mudah ditanam, boleh daripada semaian biji benih atau keratan batangnya. Malah, menjaganya juga tidak rumit, cuma pastikan cukup air dan sinaran matahari.

"Bagaimanapun, kita perlu memberikan perhatian pada peringkat awal tanaman kerana anak pokok mudah diserang penyakit," katanya.

Lim Hi berkata, walaupun Limau Bintangor amat popular dalam kalangan penggemarnya, tidak ramai memiliki kemahiran memilih buah yang baik dan manis.

"Ramai 'terkena' buah yang terlalu masam kerana tidak tahu rahsianya.  Justeru, sebelum membeli, pastikan terlebih dahulu bahagian bawahnya cengkung. Ini kerana, bahagian bawah yang rata menandakan buah itu sebenarnya amat masam. Itu petua untuk membeli limau Bintangor," katanya.

369 dibaca
REPLIKA buah limau yang menjadi simbolik Bintangor. - Foto Khalid Latip
BINTANGOR salah satu kawasan pengeluar limau terbesar Sarawak. - Foto Khalid Latip
Berita Harian X