Khamis, 20 Oktober 2016 | 6:36pm

Karya seni Malaysia tembus pasaran antarabangsa


MENTERI Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri 2, Datuk Seri Ong Ka Chuan ketika Majlis Perasmian Ekspo Seni Malaysia 2016 di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE (MECC), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi menjadi negara maju dalam industri seni apabila berjaya mengeksport hasil karya seni bernilai RM 1.6 juta di peringkat antarabangsa pada tahun lalu. 

 

Menteri Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri 2, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata industri berkenaan dilihat berpotensi besar dalam mempromosi Malaysia. 

 

"Setiap hasil seni melambangkan budaya dan kehidupan masyarakat pelbagai negara. Secara tidak langsung, ia dapat mempromosikan budaya ke negara asing.

 

"Kemajuan dalam pasaran karya seni tempatan turut berkembang apabila permintaan industri ini semakin melonjak terutamanya di negara membangun seperti China," katanya pada sidang media Majlis Perasmian Ekspo Seni Malaysia 2016 di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE (MECC), di sini.

 

Yang turut hadir, Pengasas ekspo, Datuk Vincent Sim Tiak Choo; Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Mahadzir Lokman; Pengerusi Pertubuhan Artis Shaanxi, Profesor Wang Xijing dan Penasihat Ekspo Seni Malaysia, Datuk Marcus Tan. 

Katanya, sebanyak 60 galeri seni dan organisasi dari 30 negara akan menyertai ekspo itu, yang dibuka percuma kepada orang ramai bermula semalam hingga Ahad ini.

 

Sementara itu, Tiak Choo berkata, sebanyak 2,000 hasil karya dari pelbagai galeri, antaranya dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Myanmar, China, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea, Sepanyol, Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK), akan dipamerkan. 

 

"Penyertaan dari Malaysia membabitkan Museum, Art Gallery & & Knowledge Management Center, Bank Negara Malaysia; Galeri Prima; Henry Butcher Art Auctioneers; Masterpiece Fine Art Auction; A2 Gallery dan Art WeMe Contemporary Gallery.

  

"Selain itu, acara utama di ekspo ini adalah pameran sebuah arca berbentuk bulatan diperbuat daripada model Volkswagen Bettle. Arca berukuran 1.8 meter ini dihasilkan artis Indonesia, Ichwan Noor," katanya. 

 

342 dibaca
Berita Harian X