Selasa, 11 Oktober 2016 | 6:18pm
MOHD Taib (dua dari kanan) menunjukkan mesin judi yang dirampas dalam Ops Dadu sambil diperhatikan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah JBU, Asisten Superintendan Arbae Makdor (kanan) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Skudai. - Foto Hairul Anuar Rahim

Polis serbu 112 premis judi, tahan 233 orang sejak Januari

JOHOR BAHRU: Polis Johor Bahru Utara (JBU) menahan 233 individu berusia 20 hingga 50 tahun dalam serbuan ke atas 112 premis perjudian berkomputer dan pusat hiburan sepanjang 1 Januari sehingga 10 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah JBU, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata sepanjang serbuan sempena Ops Dadu itu juga, sebanyak 679 mesin perjudian selain wang tunai berjumlah RM15,680 turut dirampas.

Katanya, dalam gerakan terbaru semalam, polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB) sudah memotong bekalan elektrik di 10 premis di Taman Ungku Tun Aminah, dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian, manakala 16 premis lagi dalam pemerhatian dan akan dikenakan tindakan sama.

"Semua 233 individu yang ditahan terdiri daripada pemilik atau penganjur yang melanggar syarat lesen hiburan kelas satu. Ada juga yang bermain judi di premis terbabit turut ditahan.

"Sebanyak 91 kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 4B Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 21 kertas siasatan mengikut Enakmen Negeri Johor (ENJ) 1998. Seramai 43 individu sudah dituduh di mahkamah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah JBU, di sini hari ini.

120 dibaca
Berita Harian X