Selasa, 11 Oktober 2016 | 3:01pm

Warga emas mati dalam kereta


LELAKI ditemui mati dalam kereta. - Foto Rosli Ilham

CHUKAI: Seorang warga emas ditemui mati dalam kereta Perodua Kancil miliknya di tapak pembinaan gudang berhampiran kilang besi Perwaja Steel Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, di sini hari ini.

Mayat Sharai Tahir, 61, dari Rumah Murah Kijal, ditemui adiknya pada kira-kira jam 7.30 pagi selepas tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi selepas habis bekerja jam 7 pagi.

Lelaki itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, mula bertugas pada jam 7.30 malam sejak sebulan lalu dan habis bekerja pada kira-kira jam 7 pagi.

Selepas gagal dihubungi, isteri Sharai meminta adik iparnya mencari pengawal keselamatan itu di tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Said Ibrahim, berkata ketika ditemui, mayat dalam kedudukan seperti sedang tidur dan kepalanya terlentuk pada stereng.

"Lelaki itu berpakaian lengkap dan kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.


ANGGOTA polis mengangkat mayat untuk dibawa ke Hospital Kemaman. - Foto Rosli Ilham

120 dibaca
Berita Harian X