Ahad, 9 Oktober 2016 | 12:04am
RATUSAN ikan kelah di hadapan resort.
MANDI-MANDA di sungai berdekatan Leap of Faith Waterfall.

Percutian, penginapan eksklusif dalam hutan tebal


PEMANDANGAN mempesona di hadapan balkoni Honeymoon Chalet ketika senja.

TIADA siapa menduga, rupa-rupanya dalam hutan tebal di mukim Tras, dalam daerah Raub, Pahang, yang jalannya hanya boleh dilalui jentera empat pacuan roda, tersergam indah pusat penginapan eksklusif.

Dikenali sebagai Tanah Aina Farrah Soraya (TAFS) kedudukannya di tengah belantara, terputus hubungan dengan dunia luar, tiada liputan internet mahupun talian telefon!

Memilih slogan Journey of Love Back to Nature atau Perjalanan Kembali Mencintai Alam Semula Jadi. Justeru, TAFS adalah eko-pelancongan yang sama sekali tidak tercemar dengan kerakusan pembangunan.

Ringkasnya, apabila memilih percutian di eko resort ini, serba-serbi kembali kepada asas atau back to basic, maksudnya menikmati kehidupan dalam hutan belantara, namun keseronokan yang dikecapi disaluti kemewahan.

Lebih unik, penginapan ini didirikan di tebing Sungai Delam yang mengalir agak laju airnya, sekali gus berpeluang mandi-manda bersama ratusan ikan eksotik seperti kelah dan tengas, berenang mengelilingi kaki anda dengan kedalaman air separas lutut.

Pemandangan waktu malam di sekitar balkoni yang mengadap sungai dan hutan, begitu mempesona, seolah-olah anda berada di taman fantasi, persis di dalam filem Magika!

Tiba waktu melelapkan mata, sekali lagi penulis menikmati ketenangan yang tidak pernah dirasai sebelum ini apabila tidur ditemani bunyi deruan air sungai yang memagari resort mewah ini. Menjelang jam 3 pagi, kedinginan mula menyapa tubuh, menjadikan tidur anda lebih lena.


SHARIFFA Sabrina menanam anak pokok tanda perasmian Program Save Our Rainforest Race di Hutan Lipur Kuala Woh dekat Tapah pada 28 Mac tahun lalu. Yang turut hadir Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Abu Muslim Ismail (kiri). - Foto Muhaizan Yahya

SHARIFFA Sabrina. - - Foto Muhaizan Yahya

Beli hutan elak kemusnahan

Pengasas dan pemilik TAFS yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, 54, menjelaskan beliau rela membeli tanah hutan berbanding aset di penempatan elit kerana tidak sanggup melihat pencemaran dan kemusnahan alam sekitar gara-gara pembalakan haram dan pembangunan tanpa kawalan.

"Malaysia kaya dengan kepelbagaian bio-diversiti dan hutan hujan tropika, namun disebabkan kerakusan manusia dan pembalakan yang berleluasa menyebabkan khazanah alam semakin pupus dan berada pada tahap membimbangkan.

"Keadaan itu membuatkan saya membeli sebahagian kawasan hutan untuk dibangunkan destinasi eko-pelancongan. Namun, ekosistem semula jadi tidak diusik, pembangunannya paling minimum. Inilah yang saya lakukan terhadap TAFS, eko resort eksklusif dalam hutan yang jadi tumpuan pengunjung tempatan dan pelancong asing terutama dari Perancis, Australia dan United Kingdom," katanya.


WAKTU pagi yang indah di sekitar Peak into Paradise.

BAMBOO House.

Kaya dengan rimbunan hutan

Daerah Raub itu sendiri kaya dengan rimbunan hutan hujan tropika kerana kedudukannya yang terletak di antara Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Gunung Benom.

Justeru, eko-pelancongan yang berasaskan sumber dan pemuliharaan alam semula jadi sangat berpotensi untuk dibangunkan.

Kini, Raub semakin dikenali sebagai destinasi ekopelancongan yang banyak menampilkan eko resort kerana memenuhi permintaan pengunjung yang kebanyakannya tidak lagi berminat menghabiskan percutian mereka di hutan batu yang sentiasa bertali-arus dengan hiruk-pikuk kenderaan, sebaliknya memilih hutan belantara tanpa sebarang aktiviti manusia, semata-mata mencari keindahan dan kedamaian serta ketenangan jiwa.

INFO

  • Shariffa Sabrina menjelaskan Aina adalah singkatan daripada namanya, manakala Farrah Soraya bersempena nama anak perempuan sulungnya. Beliau menjumpai hutan simpan di kawasan itu pada tahun 2008, sekali gus membeli tanah seluas 61.2 hektar. TAFS pula dibuka pada tahun 2010.
  • Selain Farrah Soraya, Tanah Aina mempunyai jenama lain termasuklah Farhana, Fareena, Farouq, Azareena, Fahad, Pusat Kecergasan dan Kafe. Keterangan lanjut dan tempahan layari: www.tanahaina.com

402 dibaca
Berita Harian X