Jumaat, 7 Oktober 2016 | 10:37pm

Honda lanjut tempoh tukar pengepam beg udara Takata


Honda. - Foto AP

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia melanjutkan tempoh operasi aktiviti Hab Pusat sementara penukaran pengepam beg udara Takata sehingga 31 Disember ini.

Pembukaan pusat sementara bagi menyokong kapasiti servis menyaksikan pengedar kenderaan Honda di Malaysia itu sudah menukar 4,200 unit pengepam, sementara Hab Utara dan Selatan masing-masing dengan 3,200 unit dan 3,800 unit sejak 1 Ogos hingga 30 September 2016.

Menurut syarikat itu, berdasarkan rekod Honda Malaysia bagi kereta yang terjejas, wilayah Tengah merekodkan jumlah kenderaan tertinggi yang belum menukar pengepam beg udara hadapan Takata dengan 23 peratus, manakala wilayah Utara (9%) dan Selatan (8%).

"Sehubungan itu, kami menggesa pelanggan terutama di wilayah Tengah membuat temu janji secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod kenderaan di wilayah Tengah yang belum menukar komponen itu, Honda Malaysia turut melanjutkan Hab Mudah Alih di kompleks beli-belah di wilayah berkenaan di mana servis penukaran boleh dilakukan segera.

Hab Mudah Alih yang beroperasi di pusat beli-belah terpilih di Lembah Klang pada Sabtu dan Ahad, bermula jam 10 pagi hingga 7 petang.

Dalam tempoh 1 Ogos hingga 30 September 2016, Honda Malaysia sudah menguruskan penukaran lebih 62,200 unit pengepam beg udara hadapan Takata, yang mana kira-kira 11,300 unit digantikan di hab perkhidmatan sementara.

"Pemilik kereta yang terbabit dinasihatkan membuat pemeriksaan dan menukar komponen yang terjejas di pengedar Honda yang sah," tambah kenyataan itu.

Info:

* Pemilik kereta Honda boleh memeriksa status stok pengepam beg udara hadapan di www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my

* Boleh hubungi 1-800-88-2020 untuk membuat temu janji dengan Hab Pusat Honda Malaysia

* Peringatan dan maklumat menerusi media sosial dan pesanan khidmat ringkas (SMS)

427 dibaca
Berita Harian X