;
Khamis, 6 Oktober 2016 | 2:25pm
ANGGOTA polis memeriksa kereta HONDA Accord yang dipandu suspek.

Polis minta bantuan kesan lelaki terbabit kes samun


POLIS meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun dua wanita di Ara Damansara yang viral di laman sosial, sejak semalam.

PETALING JAYA: Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun dua wanita di Ara Damansara yang viral di laman sosial, sejak semalam.

Remaja lelaki berusia 17 itu dipercayai ada kaitan dengan kes samun dua pelajar kolej swasta itu menggunakan parang di Jalan PJU1A/4, Ara Damansara, jam 3.40 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 22 tahun yang memandu kereta jenis PERODUA Myvi bersama seorang rakannya diekori sebuah kereta HONDA Accord berwarna putih ketika melalui kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata mangsa yang menyedari diekori kemudian memasuki kawasan perumahan Ara Putra dan meminta bantuan pengawal keselamatan di situ untuk masuk, tetapi tidak dibenarkan atas alasan bukan penduduk di situ.

Katanya, suspek kemudian keluar dari kenderaannya bersama sebilah parang panjang dan mengacukan ke arah mangsa sebelum menyamun sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM1,000 milik kedua-dua mereka sebelum melarikan diri.

"Kedua-dua mangsa tidak cedera dan hanya kerugian barang peribadi dan wang tunai. Laporan polis hanya dibuat oleh mangsa pada jam 7 malam semalam. Kita akan memanggil pengawal keselamatan warga Negara Nepal itu untuk diambil keterangan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Kes itu menjadi viral apabila dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenainya tersebar di laman sosial.

Rakaman masing-masing berdurasi 75 saat dan 35 saat itu menunjukkan dua wanita berkenaan yang berada di dalam kereta didatangi seorang lelaki sambil memegang parang ketika berhenti di hadapan pondok pengawal kawasan perumahan.

Mangsa yang ketakutan dilihat keluar dari kenderaan sebelum kereta itu dikatakan bergerak sendiri dan merempuh palang pengawal sebelum terlanggar kereta yang di parkir di dalam kawasan perumahan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Zani berkata, polis yang melakukan rondaan di kawasan flat Desa Ria terserempak dengan kenderaan dipercayai terbabit dalam kejadian samun itu dan mengarahkannya berhenti tetapi lelaki yang berada di dalam kenderaan itu enggan dan memecut sejauh dua kilometer hingga ke Desa Mentari.

Dalam kejadian itu, katanya, polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah kenderaan terbabit kerana melanggar kereta polis.

"Tembakan mengenai bahagian enjin dan bahagian hadapan kereta HONDA Accord itu. Bagaimanapun, pemandu berjaya melarikan diri. Pemeriksaan pada kenderaan itu menemui sembilan paket dadah seberat sembilan gram disyaki heroin di tempat duduk," katanya.

Sebarang maklumat, hubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Berita Harian X