Selasa, 4 Oktober 2016 | 12:09am

Rotavirus ancam bayi, kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Cirit-birit mungkin dianggap biasa, namun jika anak anda diserang cirit-birit serius, ia mungkin petanda jangkitan rotavirus yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera kerana dehidrasi disebabkan komplikasi kegagalan buah pinggang.

Rotavirus sukar dibasmi sepenuhnya kerana mudah merebak. Ia mendapat nama dari perkataan Latin, iaitu rota, bermaksud roda kerana bentuknya seperti roda.

Virus ini biasanya mengambil masa dua hari sebelum timbul gejala kepada kanak-kanak dijangkiti dan boleh mengakibatkan demam serius, cirit-birit, kejang atau sakit perut berterusan.

Pertengahan minggu ini, beberapa bayi dan kanak-kanak dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang yang mengunjungi sebuah taman tema di Perak dijangkiti virus itu sebelum pihak berkuasa kesihatan mengarahkan aktiviti air di pusat pelancongan terbabit ditutup sementara untuk pemeriksaan dan ujian air.

Di Ipoh, tiga lagi kes rotavirus dilaporkan di Perak kelmarin, menjadikan 19 kes di negeri itu dengan semua mangsa mengalami cirit-birit akibat jangkitan yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti air di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR).

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr B Venugopalan, berkata kolam mandi di BMLR hanya akan dibuka selepas pihaknya berpuas hati dengan semua proses cegah jangkitan yang dilaksanakan oleh pengusaha pusat peranginan berkenaan.

Di Alor Setar, Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, mengesahkan pertambahan enam kes baharu membabitkan kanak-kanak berusia satu hingga sembilan tahun semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 17 kes rotavirus dilaporkan di negeri itu.

"Keputusan ujian makmal bagaimanapun mendapati hanya 13 kes positif rotavirus, tiga lagi sedang menunggu pengesahan, manakala satu kes mendapat rawatan pesakit luar. Enam kanak-kanak dalam kes terbaru berkunjung ke taman tema di Bukit Merah pada 24 September lalu.

"Tiga daripada enam kes itu dimasukkan ke hospital swasta di Sungai Petani, dua ke Hospital Kulim dan satu di Hospital Selama, Perak yang dirawat sebagai pesakit luar, " katanya

Secara keseluruhan, daripada 17 kes dilaporkan di Kedah sejak Rabu lalu, masing-masing tujuh kes dimasukkan ke Hospital Kulim dan hospital swasta di Sungai Petani serta masing-masing satu kes di Hospital Jitra, Hospital Sultan Abdul Halim dan Hospital Selama.

Info: Latar belakang rotavirus

- Dikesan pada 1973 oleh pengkaji virus dari Australia, Ruth Frances Bishop.

- Virus berbentuk seperti roda, boleh hidup antara 9 hingga 19 hari di persekitaran luar.

- Mempunyai 8 spesies dengan spesies A menyebabkan 90 peratus jangkitan terhadap manusia.

- Mudah menjangkiti kanak-kanak usia lima tahun ke bawah kerana kurang sistem pertahanan badan.

Gejala dijangkiti rotavirus

- Muntah, cirit-birit berlanjutan antara tiga hingga lapan hari.

- Kepenatan, kulit termasuk mulut kering atau melekit, menangis tanpa air mata.

- Fontanel kepala atau ubun-ubun, kedudukan mata tenggelam.

- Dahaga melampau, pening apabila berdiri, hilang selera makan, kurang kencing.

Bagaimana rotavirus tersebar?

- Menerusi sentuhan yang dicemari najis, pendedahan daripada najis ke mulut kanak-kanak lain.

* Contoh, jika seseorang menukar lampin bayi, tangan terkena najis dan tidak dibasuh lalu memegang peralatan, permukaan atau makanan. Sekiranya kanak-kanak lain menyentuh peralatan atau permukaan itu dengan tangannya dan selepas itu tangannya dimasukkan ke dalam mulut, virus tersebar ke kanak kanak itu.

- Air, makanan, alat permainan, objek di persekitaran tercemar dengan najis.

* Pengambilan makanan, minuman, alat permainan objek tercemar dan sentuhan pada permukaan tercemar. Mereka yang mengendalikan lampin bayi perlu mencuci tangan selepas menukarnya, manakala mainan kanak kanak serta peralatan di sekitarnya perlu sentiasa bersih.

Rawatan yang perlu dilakukan

- Jangkitan rotavirus adalah punca utama cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, menyebabkan pesakit memerlukan rawatan hospital dalam bentuk memasukkan air melalui saluran darah (intravena).

- Tiada rawatan khusus untuk membunuh virus. Lebih penting pesakit mempunyai kandungan air mencukupi dalam badan untuk mengelakkan dehidrasi atau kehilangan air dan garam galian yang teruk menerusi muntah dan cirit-birit.

- Untuk cepatkan proses penyembuhan, beri pesakit minum menggunakan sudu atau cawan sekerap mungkin jika muntah, rumusan minuman air garam untuk elak dehidrasi.

Langkah elak jangkitan rotavirus

- Pembasmian kuman di tempat permainan atau pusat jagaan kanak-kanak dengan kerap. Penjaga perlu amalkan kebersihan diri dengan mencuci tangan selepas menukar lampin atau ke tandas.

- Pelalian imunisasi rotavirus disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu daripada strategi pencegahan terhadap jangkitan.

- Di Malaysia, vaksinasi terhadap jangkitan rotavirus boleh didapati di klinik, hospital swasta.

Fakta nombor

Kesan dijangkiti rotavirus

- 511,000 kanak-kanak mati setiap tahun di negara membangun akibat jangkitan rotavirus.

- 453,000 kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah mati di seluruh dunia kesan dijangkiti rotavirus.

- 70 kanak-kanak mati setiap tahun akibat rotavirus di negara perindustrian.

- 2 juta pesakit dimasukkan ke hospital setiap tahun di seluruh dunia selepas dijangkiti rotavirus.

386 dibaca
Berita Harian X