Ahad, 2 Oktober 2016 | 6:54pm

Mayat lelaki jatuh sungai ditemui

KAPIT: Misteri kehilangan seorang pemuda yang kali terakhir dilihat di tebing Sungai Rajang Jumaat lalu terjawab selepas mayatnya ditemui terapung di sungai berkenaan, kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Mayat Randy Karim, 20, ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira empat kilometer dari lokasi dia dia dilihat buat kali terakhir.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang, Jumaat lalu beberapa penduduk Rumah Panjang Pius, Nanga Merit, mendakwa ternampak mangsa berada di tepi sungai berkenaan sebelum dia dikatakan tergelincir dan jatuh ke dalam sungai.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, penduduk yang tinggal di tebing Sungai Batang Rajang itu kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada pihak bomba pada jam 7.35 petang.

"Gerakan mencari dan menyelamat mangsa perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke jeti berdekatan sebelum menaiki bot ke rumah panjang berkenaan yang tidak boleh diakses menggunakan jalan darat.

"Pencarian diteruskan sejak malam kejadian (Jumaat) sebelum disambung sehingga hari ini dan akhirnya mayat mangsa ditemui terapung kira-kira empat kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh," katanya,.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kapit untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

27 dibaca
Berita Harian X