Jumaat, 30 September 2016 | 9:37pm

Polis cari saksi kemalangan maut


MAYAT Mohamad Hafiz Kadir Sultan, yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 25.5 Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP) dari arah Putrajaya ke Puchong, awal pagi tadi.- Foto ihsan PDRM 

KUALA LUMPUR: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas merempuh tembok pembahagi jalan di Kilometer (KM) 25.5 Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP) dari arah Putrajaya ke Puchong, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.44 pagi itu, Mohamad Hafiz Kadir Sultan, 26, berasal dari Saujana Utama, Sungai Buloh, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Subang Jaya, Deputi Superintendan Azman Shari'at, berkata mangsa yang menunggang Yamaha LC bersendirian itu dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas merempuh tembok pembahagi jalan.

"Mangsa tercampak kira-kira 10 meter daripada motosikalnya di laluan laju lebuh raya berkenaan. Buat masa ini, belum ada saksi yang tampil memberi keterangan berhubung kemalangan itu.

"Justeru, kita minta saksi yang melihat kejadian itu untuk berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 03-78627222 bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

532 dibaca
Berita Harian X