Jumaat, 30 September 2016 | 8:07am

Penerbangan Thai AirAsia tertangguh kerana 'penggetar'


Penerbangan AirAsia Thailand ke Bangkok terpaksa ditangguh. - Foto AFP

CHIANG MAI: Satu penerbangan AirAsia Thailand ke Bangkok terpaksa ditangguhkan selepas petugas lapangan terbang mendengar dengungan alat bantuan seks yang disangka bom pagi kelmarin.

Daily Star Britain melaporkan dengungan dan getaran itu mencetus panik dalam kalangan kakitangan apabila mereka sedang memasukkan sebuah beg sandang hijau ke dalam pesawat.

Pengendali bagasi yang bimbang ia adalah bahan letupan terus menghubungi skuad pemusnah bom yang bergegas ke landasan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai.

Keadaan kembali tenang apabila skuad mendapati bunyi itu datang dari sejenis alat bantuan seks yang bergetar akibat dihidupkan secara tidak sengaja.

Menurut seorang pengendali bagasi, mereka ternampak beg itu bergoncang dan mendengar dengungan dari dalam. Namun sebaik pakar membuka bungkusan itu mereka dapati ia hanyalah sejenis alat bantuan seks.

"Penumpang tidak menyedari beg mereka mencetuskan amaran keselamatan. Saya rasa mereka pasti malu jika perkara itu didedahkan," katanya.

Penerbangan itu dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang Bangkok pada jam 8.25 pagi kelmarin.

Sementara itu jurucakap AirAsia Thai berkata, syarikat penerbangan itu tidak merampas barangan berkenaan kerana ia tidak mengancam keselamatan penerbangan.

"Penerbangan itu hanya tertunda selama lima minit," kata jurucakap itu memberitahu Daily Star. - Agensi

87 dibaca
Berita Harian X