Khamis, 29 September 2016 | 4:37pm

Ada pihak cuba aniaya saya, Niena - Raja Afiq

KUALA LUMPUR: Pelakon, Raja Afiq, 22, mendakwa ada pihak sengaja mahu menganiaya dirinya dan Niena Baharun sehingga sanggup menyamar di aplikasi sosial WhatsApp dengan perbualan kononnya mereka mempunyai hubungan sulit.

Raja Afiq atau nama penuhnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali bagaimanapun enggan terlalu mengambil serius mengenai penyebaran paparan skrin WhatsApp itu memandangkan ia perbualan palsu.

"Perkara itu tidak betul pun. Saya sudah lama tinggalkan grup drama Sayangku Kapten Mukhriz. Ketika masih bersama grup itu pun, saya hanya bertanyakan perkara berkaitan penggambaran

"Secara logiknya, takkanlah Niena mahupun saya ingin bercakap perkara peribadi seperti itu? Kami juga tidak pernah menggunakan kata nama diri adik atau kakak. Bagi saya, paparan skrin WhatsApp itu palsu dan sengaja diada-adakan bagi tujuan mengenakan kami," katanya kepada BH Online.

Raja Afiq berkata demikian ketika mengulas mengenai penyebaran foto paparan skrin grup WhatsApp Sayangku Kapten Mukhriz, kononnya Niena bercerita mengenai hubungan intim mereka.

Sementara itu, kata Raja Afiq, sejak akhir-akhir ini beliau kerap juga menerima maklumat daripada peminat kononnya ada individu yang menyamar sebagai dirinya.

"Individu berkenaan mengikuti (follow) semua pengikut saya di Instagram dan kemudian mengesahkan kononnya saya membuka akaun Instagram baharu. Individu itu mengaku dirinya adalah saya.

"Saya tidak mahu mengambil serius kerana saya percaya, perkara sebegini akan berulang lagi. Asalkan tidak mengganggu kerjaya atau keluarga, saya okay," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, pemuda itu kini sedang menjalani penggambaran drama, Lara Tangisan Ameena, bersama Tiz Zaqyah dan Zarina Zainoordin.

Selain itu, beliau juga terbabit dengan penggambaran telefilem, Trauma, bersempena penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL).

609 dibaca
Berita Harian X