Rabu, 28 September 2016 | 4:19pm

MPI cadang perluas Forum Media Kebangsaan ke seluruh negara


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya (kiri) memberi penerangan kepada tetamu dan anggota panel yang melawat pameran gambar MPI sempena ulangtahun ke-50 pada Majlis Forum Media Kebangsaan 2016 hari ni. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Institut Akhbar Malaysia (MPI) bercadang memperluaskan program Forum Media Kebangsaan yang penganjurannya kini tertumpu di ibu kota ke seluruh negara pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Chamil Wariya, berkata program dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu akan turut membabitkan pusat pengajian kewartawanan media dan komunikasi termasuk universiti awam yang lain.

"Barulah program ini benar-benar menjadi kebangsaan dalam erti kata ia bergerak ke segenap pelusuk tanah air kita," katanya dalam ucapan aluan pada Forum Media Kebangsaan 2016 di sini hari ini.

Forum bertemakan "Hala Tuju dan Masa Depan Kewartawanan di Malaysia" itu adalah yang ketiga dianjurkan MPI. Ia diadakan dengan kerjasama Institut Pengajian Kewartawanan UiTM (IJS-UiTM).

Chamil berkata, penganjuran forum kali ini juga sempena sambutan ulang tahun ke-50 MPI yang ditubuhkan pada 28 September 1966 oleh bekas Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Forum Media Kebangsaan adalah wacana ilmu, membincangkan pelbagai isu semasa media dan disertai lebih 150 pengamal media, ahli akademik serta pelajar pasca siswazah jurusan media dan kewartawanan.

Ahli panel termasuk Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Antara topik yang dibicarakan, 'Media, Undang-Undang dan Negara', 'Mendepani Cabaran dan Agenda Media Antarabangsa' serta 'Media, Demokrasi dan Hubungan Etnik di Malaysia'.

Yang turut diadakan pada forum berkenaan ialah pameran dokumen dan foto mengenai penubuhan MPI selama 50 tahun, organisasi yang berperanan sebagai penyedia latihan kewartawanan jangka pendek dan mengiktiraf karya kewartawanan negara ini. - BERNAMA

72 dibaca
Berita Harian X