Isnin, 26 September 2016 | 5:45pm

Karya Hamzah Fansuri bentuk pemikiran Melayu


PENGERUSI Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Salleh Yaapar ( tiga dari kanan) beramah mesra dengan peserta yang menyertai Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) XII 2016 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Karya persuratan dan kesusasteraan warisan alam Melayu yang merakam pemikiran dan falsafah dalam konteks keagamaan serta pemerintahan sesuai menjadi pegangan masyarakat Melayu sehingga ke hari ini.

Antara yang masih boleh menjadi rujukan ialah karya yang dihasilkan penyair agung dan tokoh sufi alam Melayu, Hamzah Fansuri serta Bendahara Johor yang terkenal dan penulis Salalatus Salatin atau Sejarah Melayu, Tun Seri Lanang.

Beliau berkata, Hamzah Fansuri memperbetulkan amalan yang berbaur ajaran Hindu dan menyeleweng yang wujud dalam kalangan pemerintah, bangsawan dan masyarakat pada zamannya.

"Hamzah Fansuri kritikal terhadap pemimpin agama yang cenderung menangani isu tasawuf tanpa kefahaman mendalam malah beliau tidak gentar mengkritik Sultan dan pembesar di Aceh yang mengamalkan gaya hidup mewah dan zalim.

"Dalam konteks falsafah pemerintahan dan ketaatan, Hamzah Fansuri juga menyeru pembaca supaya menjauhi penguasa yang zalim tetapi pendiriannya berkait falsafah pemerintahan dan ketaatan ini menyebabkan karyanya bukan saja tidak dimasukkan dalam catatan sejarah kerajaan Aceh, malah ada yang turut dibakar," katanya pada Ucaptama Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) XII 2016 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Dayang Nortijah Mohd Hassan; Pengerusi MASTERA Singapura, Prof Madya Dr Hadijah Rahmat dan Pengerusi SAKAT, Dr Mohd Hanafi Ibrahim.

Mengenai Tun Seri Lanang pula, Salleh berkata, tokoh besar itu mengenengahkan falsafah pemerintahan untuk renungan rakyat, iaitu mengenai pemerintah adil yang perlu ditaati, manakala pemerintah zalim diingkari.

"Meskipun awalnya menampilkan kehebatan dan sifat kedewaan pemerintah, Tun Seri Lanang menyerlahkan pula kisah kerakusan dan kezaliman mereka bersama kesannya kepada negeri yang diperintah.

"Ia disampaikan secara tidak sedar sebagai kritikan tajam terhadap pemimpin dan rakyat jelata di kepulauan Melayu pada masa itu," katanya.

Malaysia melalui DBP sebagai tuan rumah MASTERA menganjurkan SAKAT XII yang bertujuan memaju dan mengembangkan kesusasteraan serantau ke arah menjadi warga sastera dunia berwibawa.

SAKAT XII yang bertema Falsafah Melayu/Indonesia dalam Karya Sastera Tradisional juga bertujuan mewujudkan kerjasama antara pusat pengajian kesusasteraan Asia Tenggara di seluruh dunia dalam mengantarabangsakan hasil kesusasteraan serantau.

Sebanyak 14 kertas kerja dibentangkan dalam seminar dua hari yang bermula hari ini yang membabitkan sarjana dan ahli akademik negara ini, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand.

279 dibaca
Berita Harian X