Jumaat, 23 September 2016 | 12:57pm

#MYCYBERSALE disasar raih untung RM200,000

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan kira-kira RM200,000 keuntungan hasil jualan produk agro makanan dan pertanian dalam talian menerusi promosi #MYCYBERSALE pada 26 hingga 30 September ini.

Timbalan Pengarah Pemasaran FAMA, Nor Azhar Abdul Hamid, berkata ia membabitkan 11 jenis produk makanan dan minuman yang ditawarkan oleh 11 pembekal.

Katanya, FAMA turut memberi fokus kepada produk Bumiputera selain menggalakkan pembabitan usahawan muda untuk mewujudkan pasaran baharu yang lebih mampan.

"Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ini hanya mengenakan kos penghantaran RM6 tanpa mengira bilangan dibeli yang tertakluk di Semenanjung.

"Kita dalam proses memasarkan produk berkenaan ke Sabah dan Sarawak. Jika ada permintaan, kita akan usahakan namun kos penghantaran pasti lebih tinggi berikutan faktor jarak.

"Pada masa sama, kita perlu memastikan produk yang dibekalkan berkualiti, dibungkus dengan menarik, terjamin bersih dan halal," katanya pada sidang media #MYCYBERSALE di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Ladang Kontrak FAMA, Mohd Radzi Muhamad Hanafiah.

 

Maklumat lanjut mengenai #MYCYBERSALE boleh diperoleh dengan melayari www.agrobazaar.com.my

19 dibaca
Berita Harian X