Rabu, 21 September 2016 | 6:36pm

Mitsubishi Motors Malaysia yakin jual 12,000 unit kenderaan


KETUA Pegawai Eksekutif MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM), Yang Won-Chul (kanan) dan Pengarah Urusan Sing Kwung Jidosha Sdn Bhd, Ng Sin Yean menandatangani plak pada majlis perasmian Pusat 3S Mitsubishi Motors di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, yakin mencapai sasaran jualan 12,000 unit kenderaan dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Mac 2017.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yang Won-Chul, berkata ia disandarkan kepada momentum jualan memberangsangkan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini apabila hampir 6,000 unit kenderaan sudah dijual.

"Penawaran model seperti Kenderaan Utiliti Sports (SUV) Outlander, kenderaan pick-up Triton dan SUV kompak ASX dijangka menjadi pemacu kepada pertumbuhan jualan itu," katanya pada majlis perasmian Pusat 3S Mitsubishi Motors di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Sing Kwung Jidosha Sdn Bhd, Ng Sin Yean. Syarikat itu adalah penjual sah kenderaan Mitsubishi di Malaysia.

MMM mengedar model Attrage, Lancer GTE, ASX, Outlander, Pajero Sport VGT dan Triton.

Sebagai perbandingan, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2016 MMM mencatatkan jualan 10,344 unit kenderaan atau purata 862 unit sebulan.

Won-Chul berkata, sejak penubuhannya pada 2005, MMM sudah menjual lebih 100,000 unit kenderaan Mitsubishi di Malaysia.

Sementara itu, Sin Yean berkata, Pusat 3S Mitsubishi Motors milik Sing Kwung Jidosha di Jalan Chan Sow Lin membabitkan pelaburan RM1.5 juta yang mana ia turut dilengkapi kemudahan 'Body & Paint' untuk pelanggan Mitsubishi.

Beliau berkata, dengan keluasan 30,000 kaki persegi, pusat 3S baharu itu menempatkan bengkel lengkap dengan kawasan penyimpanan peralatan bagi kemudahan pelanggan.

Pusat 3S itu juga menawarkan perkhidmatan mencuci kenderaan secara percuma kepada semua pelanggan Mitsubishi yang menghantar kenderaan untuk diservis.

Pusat itu dilengkapi tujuh ruang servis, enam mesin pengangkat dan berkeupayaan servis sehingga 24 kenderaan sehari.

Pada majlis sama, Sing Kwung Jidosha turut mempamerkan Triton VGT Adventure X enjil diesel terbaharu yang mana trak pengangkut itu turut ditawar kepada pengunjung untuk diuji pandu.

"Dengan pembukaan bilik pameran Mitsubishi kedua di Malaysia, Sing Kwung Jidosha yakin dapat memenuhi jangkaan tinggi pelanggan," katanya.

Kaji selidik Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI) 2016 terbaharu dijalankan JD Power Asia Pacific, menyenaraikan MMM tiga tangga teratas dalam kalangan 16 syarikat automotif di negara ini, dengan memperoleh 758 mata daripada 1,000 mata dalam kepuasan perkhidmatan secara keseluruhan.

Kaji selidik yang memasuki tahun ke 14 itu disandarkan kepada maklum balas 3,257 pemilik kenderaan yang membeli kenderaan antara Februari 2014 dan Mei 2015, yang menghantarnya untuk di servis di pusat servis sah sepanjang tempoh Ogos 2015 hingga Mei 2016.

INFO

. 55 bilik pameran Mitsubishi di seluruh negara

. 47 daripadanya pusat 3S

. 6 bilik pameran Mitsubishi di Sarawak dan 6 di Sabah

47 dibaca
Berita Harian X