Selasa, 20 September 2016 | 5:33pm
YANG di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan darjah PSM kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif The AlloyMtd Group, Tan Sri Dr Azmil Khalili Khalid pada majlis yang berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Mahkamah Persekutuan dahului senarai penerima darjah kebesaran


HAKIM Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azahar Mohamed hari ini mendahului senarai 207 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2016 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azahar Mohamed serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AlloyMtd Group, Tan Sri Dr Azmil Khalili Khalid antara 207 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2016 sempena hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini.

Azahar dan Azmil Khalili adalah antara empat penerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri' daripada Seri Paduka pada istiadat pengurniaan itu di Istana Negara di sini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat pengurniaan itu. Hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong disambut pada 4 Jun lepas.

Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan PSM kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Anggota Dewan Negara Senator Tan Sri S. Nallakaruppan.

Azmil Khalili, 56, juga merupakan Presiden dan CEO ANIH Berhad, iaitu syarikat konsensi tol Lebuhraya KL-Karak, Fasa 1 Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya KL-Seremban.

Selain itu, beliau adalah pengerusi dan pengarah Daya Materials Berhad, pengarah Environment Idaman Sdn Bhd iaitu syarikat konsesi sisa pepejal, anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kepimpinan Perdana dan Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Filipina (MPBC).

Tuanku Abdul Halim juga mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk' kepada 10 penerima termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datuk Iskandar Mohamad Kaus.

Penerima PJN lain ialah Pengerusi Eksekutif Capaian Persada Sdn Bhd, Datuk Mazli Mohan Alias, Pengarah Bukan Eksekutif Petronas Dagang Berhad, Datuk Mohd Farid Mohd Adnan, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr Sharif Haron dan Naib Presiden Persatuan Perabot Malaysia Pulau Pinang, Datuk Cha Hoo Peng.

Pengarah Eksekutif Sapura Kenchana Petroleum Bhd, Datuk Ramlan Abdul Malek, Pengurus Palma Takzim Sdn Bhd, Datuk Jamaluddin Mohd Radzi dan Presiden Kebangsaan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Selangor, Datuk Kang Hua Keong turut dikurniakan PJN.

Seri Paduka juga berkenan mengurniakan PJN kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, mendiang Datuk Dr A. Sundaran yang diwakili isterinya Datin R. Talagavathi serta bekas Timbalan Pendakwa Raya, mendiang Datuk Anthony Kevin Morais yang diwakili adiknya, Datuk Richard Dillan Morais.

Sementara itu, tiga individu dikurniakan Johan Mangku Negara (JMN), Johan Setia Mahkota (JSM) (lapan orang) dan Kesatria Mangku Negara (KMN) (37 orang).

Dua penerima lagi dianugerahkan Kesatria Setia Diraja (KSD), seramai 60 orang menerima Ahli Mangku Negara (AMN) manakala 83 penerima dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN). - BERNAMA

534 dibaca
Berita Harian X