Selasa, 20 September 2016 | 1:54pm

Pusat Mekanisasi Ladang, MPOB cipta lebih 35 teknologi


AHMAD (empat dari kanan) mendengar penerangan mengenai teknologi berkaitan sektor perladangan yang dipamerkan pada PILIPS 2016 dan Seminar PalmMech, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom.

SANDAKAN: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi penubuhan Pusat Mekanisasi Ladang hingga kini berjaya mencipta dan membangunkan lebih 35 teknologi dengan sebahagiannya sudah dikomersialkan.

Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Hamzah, berkata antara teknologi itu adalah Cantas, Grabber, Treler Motosikal, Rhyno dan Beluga yang sudah diperkenal dan digunakan dalam industri perladangan.

Katanya, MPOB secara konsisten menumpukan bidang penyelidikan dan pembangunan menerusi ciptaan serta rekaan mesin baharu bagi memenuhi keperluan sektor berkenaan, sekali gus meningkatkan kecekapan ladang dan prestasi buruh.

"Dengan penubuhan Pusat Mekanisasi Ladang, MPOB giat membangunkan mesin sesuai dan menjalankan penyelidikan untuk mencipta alat yang memudahkan kerja lapangan.

"Sejak beberapa tahun lalu, jumlah teknologi dipindahkan kepada industri semakin meningkat dan kita perlu maklum balas industri untuk memperkukuhkan bidang pembangunan dan penyelidikan," katanya ketika merasmikan Seminar Pekerja Industri Sawit: Isu, Prestasi dan Kemapanan (PILIPS 2016) dan Mekanisasi Minyak Sawit (PalmMech) di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) MPOB, Mohamad Nor Abdul Rahman; Pengarah Bahagian Penyelidikan Biologi MPOB, Dr Norman Kamarudin dan Pengarah Bahagian Pembangunan Ekonomi dan Industri MPOB, N Balu.

Seramai 228 peserta menyertai seminar itu membabitkan golongan penyelidik, pensyarah dan pemain industri dengan seminar bertujuan mendedahkan pelbagai aspek kepada industri, termasuk pembangunan dan teknologi baharu selain membincangkan isu serta cabaran semasa mengenai produktiviti tenaga kerja.

Ahmad berkata, sebahagian besar operasi dalam ladang kelapa sawit hari ini dijayakan oleh jentera bermula daripada menuai, memindahkan, memuatkan dalam pengangkutan, aplikasi baja dan kawalan racun perosak susulan kejayaan mencipta pelbagai teknologi, sekali gus meningkatkan kualiti hidup tenaga kerja.

Katanya, kerajaan menerusi MPOB juga menyediakan dana khas menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi meningkatkan produktiviti dan penggunaan jentera dalam operasi lapangan dikenali Skim Insentif Jentera Industri Kelapa Sawit (OPIMIS).

460 dibaca
Berita Harian X