Ahad, 18 September 2016 | 10:22pm

Parti pimpinan Merkel berdepan kekalahan di Berlin


CANSELOR Jerman, Angela Merkel. - Foto AFP

BERLIN: Parti Konservatif pimpinan Canselor Jerman, Angela Merkel mungkin mengalami kekalahan kedua pilihan raya dalam tempoh dua minggu di bandar raya ini hari ini ketika pengundi menolak dasar mesra-pelarian yang dilaksanakannya.

Parti anti-pendatang, Alternative for Germany (AfD) dijangka mendapat manfaat daripada satu tentangan popular berhubung keputusan Merkel setahun lalu untuk memastikan sempadan Jerman dibuka kepada pelarian dan parti itu dapat menguasai kawasan ke-10 daripada 16 negeri di Jerman.

Penduduk keluar mengundi di ibu kota Jerman itu seawal jam 8 pagi waktu tempatan dan sejumlah 2.5 juta pengundi akan menentukan siapa yang akan mewakili mereka di bandar ini.

Pusat pengundian akan ditutup pada jam 6 petang waktu tempatan dan keputusan awal pilihan raya disiarkan kira-kira satu setengah jam kemudian.

Parti Kristian Demokrat (CDU) pimpinan Merkel dijangka mengalami kekalahan besar dan ini bermakna parti Sosial Demokrat Sosial (SPD) mungkin memintanya keluar daripada pakatan.

Keadaan itu akan meningkatkan lagi tekanan terhadap Merkel dalam tempoh setahun sebelum pilihan raya persekutuan dan boleh memecah belahkan perpaduan dalam kalangan anggota konservatif.

Kekalahan di Mecklenburg-Vorpommern dua minggu lalu menyebabkan sekutu Merkel di Bavaria mendesak beliau lebih tegas berhubung dasar pendatang, antaranya memperkenalkan had 200,000 pelarian setahun.

Merkel bagaimanapun menolak cadangan itu dan mempertahankan pendekatannya dalam menangani isu kemasukan pendatang ke Eropah, termasuk persetujuan dengan beberapa negara seperti Turki dan menghantar pelarian ke seluruh Eropah. - Reuters

157 dibaca
Berita Harian X