;
Sabtu, 17 September 2016 | 5:50pm

Jalur Gemilang gergasi dikibar di puncak Tinorindok


SEBAHAGIAN peserta mengibarkan Jalur Gemilang bersaiz gergasi di puncak Bukit Tinorindok. - Foto Lano Lan

RANAU: Seramai 200 penduduk dari Kundasang di sini, mengibarkan Jalur Gemilang bersaiz gergasi berukuran 27 meter X 9 meter di puncak Bukit Tinorindok di sini, sempena sambutan Hari Malaysia, semalam.

Bukit Tinorindok pada ketinggian 1,758 meter dari paras laut, kini menjadi tarikan terbaru pelancongan di Kundasang, terutama pelancong yang gemarkan aktiviti mendaki dan merentas denai hutan.

Pengerusi Permuafakatan Komuniti 1 Malaysia Daerah Ranau yang juga ketua program, Sautin Mayor, 58, berkata acara itu bertujuan mempromosikan bukit berkenaan untuk pelancong ke daerah ini.

"Usaha ini juga bertujuan menyemai semangat cintakan Kundasang dalam kalangan masyarakat setempat terutama generasi muda.

"Kepenatan menempuh pendakian ke puncak terubat dengan pemandangan indah bukit yang dikenali sebagai Nuluh Tinorindok oleh penduduk setempat ini.

"Ia juga simbolik penyatuan masyarakat pelbagai usia dari lebih 13 kampung di sini," katanya di sini, hari ini.

82 dibaca
Berita Harian X