Ahad, 11 September 2016 | 7:14pm

Pemanduan bertenaga tanpa kompromi keselamatan


MERCEDES-BENZ SUV GLC 250 4Matic.

SELEPAS Merekodkan jualan memberangsangkan bagi model SUV GLC 250 4Matic diimport sepenuh (CBU) sejak diperkenalkan di pasaran Malaysia awal tahun ini, Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd kini tampil melancarkan varian pemasangan tempatan (CKD) SUV mewah itu.

Muncul sebagai SUV pertama Mercedes-Benz yang dipasang di kilang syarikat itu di Pekan, Pahang, GLC 250 CKD ini tidak menyaksikan perbezaan ketara dari segi reka bentuk luaran, kemasan dalaman mahupun aspek meknikal berbanding model CBU.

Namun, jentera ini yang didatangkan dengan spesifikasi AMG Line tunggal, dilengkapi lima elemen tambahan termasuk pad sesentuh dan perehat tapak tangan di atas kawalan COMAND pada terowong transmisi, pakej storan, pencahayaan ambien, plat ambang pintu iluminasi dan pencahayaan tompokan pada logo Mercedes.

Sebaliknya, ia tidak disertakan dengan pakej kejuruteraan laluan lasak, dengan menambah fungsi Pengawalaturan Kelajuan Menurun Bukit (DSR) dan mod pemanduan laluan lasak, kecondongan, kelicinan dan trailer pada sistem Pemilihan Dinamik berbanding model CBU.

Buat masa ini SUV GLC 250 baharu ini bukanlah model CKD sepenuhnya, tetapi lebih kepada pemasangan separa tempatan (SKD). Ini kerana kerangka dan panel jentera ini telah separa kimpal dan dicat di Jerman, sebelum didatangkan untuk dipasang di Pekan.

Justeru, harga model SUV GLC 250 CKD tidak banyak berbeza dengan model CBU yang mana ia ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM325,888, termasuk waranti empat tahun, tanpa had perbatuan.

Sempena pelancaran GLC 250 CKD di Pekan, Pahang penghujung bulan lalu, media pemotoran tempatan diberi kesempatan memandu uji SUV berkenaan dari Kuala Lumpur ke Bandar Diraja Pahang itu dan sebaliknya.

Seperti model CBU, model ini didatangkan dengan kit AMG sepenuhnya, termasuk bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, corong ekzos berkembar dan plat ambang protektif, selain lampu utama LED pintar, lampu belakang LED, pemijak sisi dan roda aloi pelbagai-jejari AMG 20-inci.

Kemasan dalaman disaluti kulit, kemasan kayu berwarna hitam abu dan roda stereng pelbagai-fungsi tiga-jejari AMG. Ia turut menampilkan spesifikasi lain antaranya, kemasukan tanpa kunci, bumbung gelangsar panoramik, kawalan suhu automatik tiga-zon Thermotronic, Bantuan Parkir Aktif, paparan skrin tujuh-inci, sistem kamera 360-darjah dan sistem navigasi Garmin Map Pilot.

Seperti reka bentuk, tiada perubahan dari segi mekanikal, yang menyaksikan jentera ini dijana enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 211 hp pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm bermula 1,200 hingga 4,000 rpm.

Dipacu transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan yang menghembur kuasa menerusi sistem pacuan semua-roda 4Matic, menjadikan pemanduan jentera ini sentiasa bertenaga dan responsif terhadap apa juga keadaan.

Seperti model Mercedes-Benz lain, SUV GLC 250 dilengkapi kit keselamatan komprehensif termasuk tujuh beg udara, bantuan tambahan pencegahan perlanggaran, bantuan angin lintang, bantuan perhatian dan sistem pra-keselamatan.

Info

SUV GLC 250 4Matic CKD

* Kapasiti enjin : 1,991 cc

* Kuasa output (kW/hp) : 155/211 pada 5,500

* Tork (Nm) : 350 pada 1,200 - 4,000.

* Pecutan dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7.3 saat

* Kelajuan maksimum 222 km/j

* Penggunaan bahan api : antara 6.5 dan 7.1 liter setiap 100 km

* Harga atas jalan tanpa insurans : RM325,888

* Waranti empat tahun tanpa had perbatuan

116 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »