;
Khamis, 8 September 2016 | 4:02pm

KSU KPT dahului senarai penerima Darjah Kebesaran Persekutuan


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur (kiri) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2016 di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur, hari ini mendahului senarai 225 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2016 sempena Ulang tahun Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Jun lalu.

Noorul Ainur menerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri' daripada Tuanku Abdul Halim pada majlis yang berlangsung di Istana Negara di sini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat pengurniaan itu. Hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong disambut pada 4 Jun lepas.

Turut dikurniakan darjah PSM ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Tan Sri Norliza Rofli; Pengerusi Eksekutif Hot Media Sdn Bhd, Tan Sri N Puvanendran; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Dr Ibrahim Saad; Pengerusi Rural Capital Sdn Bhd, Tan Sri Abu Seman Yusop; dan bekas Timbalan Menteri Penerangan, Tan Sri Mohd Khalid Mohd Yunus.

Tuanku Abdul Halim mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk' kepada tujuh penerima termasuk Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ong Lam Kiat.

Penerima PJN lain ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din; Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh; dan Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Pulau Pinang Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut menerima darjah sama ialah Pengerusi MIC Bahagian Bagan Datoh, Perak, Datuk R Supramaniam; Pengarah Urusan Skatesports, Datuk Tiong Yap Choon; dan bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Sementara itu, tujuh individu dikurniakan Johan Mangku Negara (JMN), Johan Setia Mahkota (JSM) (10 orang) dan Kesatria Mangku Negara (KMN)(31 orang).

Lima puluh enam penerima lagi dianugerahkan Ahli Mangku Negara (AMN), Pingat Pangkuan Negara (PPN) (67 orang) dan Bentara Setia Diraja (BSD) (41 orang). - BERNAMA

820 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »