Isnin, 5 September 2016 | 4:38pm

Permaisuri Johor dan anakanda tunai haji


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengaminkan doa bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya, Che' Puan Khaleeda Bustamam ketika mengiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bersama Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar serta rombongan diraja sebelum berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan ibadah haji di Royal Johor Hangar, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor. - Foto ihsan Facebook Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bersama rombongan diraja berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan haji.

Turut berangkat, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Penerbangan Permaisuri Johor bersama Tunku Tun Aminah dan Tunku Abu Bakar dilaporkan berlepas jam 1.30 tengah hari ini, manakala penerbangan yang membawa Tunku Idris serta Tunku Abdul Rahman berlepas jam 12.30 tengah hari.

Bagaimanapun, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar tidak dapat bersama rombongan haji keluarga diraja itu atas faktor kesihatan.

Sultan Johor menerusi laman sosial Facebook (FB) rasmi bertitah baginda dan Permaisuri Johor pernah menunaikan haji pada 1985 dan pada tahun ini baginda bercadang membawa keluarganya menunaikan haji dengan turut menunaikan ibadah haji bagi Allahyarham Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil.

Bagaimanapun baginda menjalani prosedur angioplasty empat hari lalu menyebabkan doktor menasihatkan baginda supaya tidak berangkat mengerjakan ibadah haji kerana ia bukan sahaja membabitkan perjalanan yang jauh, malah perlu menghadapi pelbagai cabaran fizikal yang lain.

"(Pada mulanya) keluarga saya dan ahli rombongan tidak mahu meneruskan hasrat untuk ke tanah suci tanpa saya, namun adalah menjadi hasrat saya supaya mereka menyempurnakan perancangan terbabit.

"Saya mahu pegawai kerajaan negeri dan petugas saya berpeluang menunaikan haji kerana mereka mungkin tidak berpeluang berbuat demikian pada masa lain.

"Walaupun saya sesungguhnya ingin bersama mereka, saya reda menerima ketentuan Allah bahawasanya hanya Dia sahaja Yang Maha Mengetahui," titah baginda.

Selain itu tidak berangkat sama ke tanah suci ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya, Che' Puan Khaleeda Bustamam.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Datuk Nooh Gadut turut menyertai rombongan berkenaan bagi menyempurnakan haji buat Allahyarham Tunku Laksamana Johor.

Sebelum berangkat, rombongan keluarga diraja itu turut ke Makam Diraja Mahmoodiah bagi melawat makam Allahyarham Tunku Laksamana Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri, Datin Seri Rosni Omar; Jumaah Diraja Johor serta barisan EXCO kerajaan negeri turut menghantar rombongan yang berlepas dari Royal Johor Hangar, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, dekat sini.

4428 dibaca
Berita Harian X