Isnin, 5 September 2016 | 11:04am

87,229 calon duduki UPSR di Selangor


Calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan Raja Muda (SKRM) Sekyen 4 Shah Alam, beratur sebelum masuk kedalam dream peperiksaan bagi menjawab kertas Bahasa Melayu Pemahaman yang bermula jam 8.15 pagi hingga 9.30 pagi pada hari pertama UPSR. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Seramai 87,229 murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 790 sekolah di negeri ini, hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim, berkata jumlah calon yang menduduki UPSR pada tahun ini meningkat seramai 301 murid berbanding sejumlah 86,928 murid pada 2015.

"Daripada jumlah itu, seramai 280 murid adalah Calon Berkeperluan Khas (CBK) turut menduduki UPSR pada tahun ini. Murid CBK adalah murid yang mempunyai masalah pembelajaran serta kurang upaya fizikal, pendengaran dan penglihatan.

"Seramai 22 calon pula terpaksa menjawab peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, daerah Petaling Perdana mencatatkan jumlah calon tertinggi menduduki UPSR iaitu 16,840 murid diikuti Klang dengan 15,343 murid dan Gombak, 12,329 murid.

Katanya, seramai 6,773 petugas peperiksaan termasuk penyelia kawasan, Ketua Pengawas dan Pengawas diarahkan untuk menjaga peperiksaan UPSR pada tahun ini.

268 dibaca
Berita Harian X