Ahad, 4 September 2016 | 9:15pm

40 sekolah daif di Sabah akan dapat bangunan baharu


MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Keningau dan Pensiangan di Keningau, hari ini. - Foto BERNAMA

KENINGAU: Sebanyak 40 sekolah rendah yang dikategorikan sebagai sekolah daif akan mendapat bangunan baharu sejajar usaha kerajaan menaiktaraf prasarana pendidikan di Sabah, mulai tahun ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata dalam masa sama beberapa prasarana pendidikan telah diluluskan dan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11)  khususnya di pedalaman negeri ini.

"Antaranya ialah pembinaan sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Berasrama Penuh Sains Keningau dengan anggaran kos RM61 juta, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit Keningau yang bernilai RM46.6 juta dan SMK Trusmadi (RM40.6 juta).

"Kerajaan juga akan melaksanakan projek Bangunan Tambahan K9 untuk menaiktaraf Sekolah Kebangsaan (SK) Pensiangan yang bernilai RM15.3 juta agar murid sekolah rendah melanjutkan pelajaran hingga ke Tingkatan Tiga di sekolah yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Keningau dan Pensiangan di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Keningau, Datuk Sairin Karno; Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Datuk Yasin;  Ketua Wanita UMNO Pensiangan, Zaiton Anik; Ketua Wanita UMNO Keningau, Amelia Anjun dan Pengarah Pendidikan Sabah, Maimunah Suhaibul.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO meminta semua barisan kepimpinan pendidikan bekerjasama bersama komuniti sekolah.

44 dibaca
Berita Harian X