Khamis, 1 September 2016 | 7:49pm
FASA pertama MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Semantan akan mula beroperasi Disember ini. - Foto BERNAMA

PM Najib lawat projek, naik tren MRT


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat Stesen MRT Phileo Damansara yang hampir siap pembinaannya. Turut sama Pengarah Projek Laluan SBK, Marcus Karakashian (dua dari kanan). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat projek MRT Lembah Klang (KVMRT) bermula di Stesen Semantan hingga ke Stesen Phileo Damansara di sini.

Lawatan itu adalah lawatan kerja kelima Perdana Menteri ke projek KVMRT dan hari ini kali pertama beliau menaiki tren MRT, yang jelas menunjukkan komitmen dan perhatian beliau secara konsisten bagi memastikan projek itu siap pada masa dan kos yang ditetapkan.

Perdana Menteri yang tiba pada jam 5 petang di Stesen Semantan, disambut Pengerusi Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Pengarah Projek Laluan SBK, Marcus Karakashian.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menaiki tren MRT dari stesen Semantan ke Phileo Damansara dan balik semula ke stesen Semantan. - Foto BERNAMA

Beliau kemudian menaiki tren MRT yang akan beroperasi bagi laluan pertama iaitu MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dari Stesen Semantan ke Stesen Pusat Bandar Damansara sebelum ke Stesen Phileo Damansara.

Najib kemudian meninjau sekitar Stesen Phileo Damansara termasuk melawat jejantas pejalan kaki yang menyeberangi Lebuhraya SPRINT menghubungkan pusat komersial Phileo Damansara.

Perdana Menteri seterusnya menaiki tren kembali ke Stesen Semantan untuk mengakhiri lawatannya meninjau projek itu.

Mengikut kenyataan MRT Corp, kemajuan bagi projek laluan SBK pada masa ini adalah 89 peratus.

Fasa pertama laluan SBK dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Semantan akan mula beroperasi Disember ini manakala baki laluan dari Stesen Semantan ke Stesen Kajang akan mula beroperasi pada Julai 2017.

Projek sepanjang 51 kilometer membabitkan 31 stesen itu menelan kos RM23 bilion. - BERNAMA

132 dibaca
Berita Harian X