Sabtu, 20 Ogos 2016 | 7:00pm

Bazar Wanita 1Malaysia perkasa ekonomi negara


MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. - Foto Azhar Ramli

JOHOR BAHRU: Seramai 75 usahawan seluruh negara termasuk ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpendapatan rendah berpeluang memasarkan produk mereka menerusi program Bazar Wanita 1Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata program yang dilaksanakan menerusi inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan itu antara langkah bagi menyediakan kemudahan dan khidmat sokongan perniagaan kepada usahawan.

Katanya, setakat ini, Johor menjadi lokasi ke-10 program itu selepas pelancarannya di Pasar Tani Presint 2, Putrajaya pada 2012, yang membantu golongan sasar yang ingin memulakan perniagaan dengan modal yang rendah dan kurang berisiko, selain mampu menjana pendapatan sendiri.

"Penyertaan Bazar Wanita 1Malaysia ini adalah sangat digalakkan dan kementerian menyasarkan seramai 20 peserta bagi setiap negeri dengan cabaran utamanya adalah memastikan perkhidmatan yang ditawarkan menyumbang kepada komuniti setempat.

"Kerajaan menggalakkan lebih ramai wanita menceburkan diri dalam bidang keusahawanan berikutan usaha itu dilihat mampu menjana pendapatan tambahan, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Bazar Wanita 1Malaysia Johor yang disertai kira-kira 11 usahawan wanita, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md Ariff.

Rohani berkata, antara pencapaian peserta Bazar Wanita 1Malaysia adalah seramai 45 peratus peserta Kelantan berjaya meningkatkan pendapatan sehingga 100 peratus, manakala 83 peratus peserta Selangor berjaya meningkatkan pendapatan lebih 20 peratus.

"Program yang dibimbing Jabatan Pembangunan Wanita Johor diharap akan mendapat sokongan dan perhatian semua kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah memberi impak positif ke arah kestabilan ekonomi negara," katanya.

212 dibaca
Berita Harian X