Sabtu, 20 Ogos 2016 | 7:46am

Paul Manafort berundur ketuai kempen Trump


PENGERUSI kempen calon presiden Republikan AS, Donald Trump, Paul Manafort meletak jawatan. - Foto Reuters

NEW YORK: Pengerusi kempen calon presiden Republikan AS, Donald Trump, Paul Manafort meletak jawatan, sekali gus menambah huru-hara dan menunjukkan betapa goyahnya pasukan itu dalam persaingan untuk ke Rumah Putih.

Kempen Trump mengesahkan berita itu semalam menerusi satu kenyataan yang menyebut usahawan New York itu sendiri mengucapkan terima kasih kepada ahli strategi veteran itu atas khidmatnya.

"Pagi ini Paul Manafort menawarkan, dan saya menerima, peletakan jawatannya daripada kempen ini," kata Trump.

"Saya amat menghargai sumbangan tidak terhingga beliau dalam membantu membawa kita di mana kita berada pada hari ini, khususnya kerja-kerja yang membimbing kita melalui proses perwakilan dan konvensyen. Paul adalah profesional sejati dan saya mendoakan kejayaannya."

Manafort, yang mual berkhidmat sejak Mac lalu untuk membantu pasukan Trump melalui fasa utama kempen, mengambil alih jawatan sebagai pengurus Jun lalu, selepas Trump memecat pengurus kempen asal, Corey Lewandowski.

Beliau dilihat oleh pemerhati sebagai kuasa utama di sebalik pemilihan Gabenor Indiana Mike Pence, sebagai gandingan Trump.

Pada Rabu lalu, jutawan hartanah itu menamakan pengerusi eksekutif Breitbart News dan bekas pegawai bank pelaburan, Steve Bannon sebagai ketua eksekutif kempennya.

Beliau turut menaikkan pangkat penasihat kanan dan pungutan suara, Kellyanne Conway ke jawatan pengurus kempennya. - Agensi

39 dibaca
Berita Harian X