Selasa, 19 Julai 2016 | 3:46pm

MOSTI sasar komersialkan produk inovasi


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah semasa sidang media selepas merasmikan kongres antarabangsa berkaitan kajian kerang-kerangan dan siput, World Congress of Malacology 2016 (WCM2016) kali ke-19 di Hotel Jen, Georgetown. - foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Kerajaan sudah memperuntukkan sejumlah RM25 juta bagi memastikan 80 produk penyelidik tempatan dapat dikomersialkan sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata pihaknya memperuntukkan sehingga RM500,000 di bawah program Geran Inovasi Sosial bagi membantu pengeluaran setiap produk yang dihasilkan penyelidik.

Katanya, penyelidik sememangnya digalak melakukan penyelidikan produk yang berpotensi agar manfaatnya dapat dirasai masyarakat.

"Pengkomersialan produk penyelidikan terbahagi kepada banyak kategori termasuk elektronik, pertanian, akademik dan lain-lain lagi yang mampu membantu masyarakat melalui inovasi terbaharu itu.

"Langkah pengkomersialan ini bertujuan membantu membina kemahiran baharu dalam kalangan masyarakat dan meningkatkan pendapatan penyelidik," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Antarabangsa Malakologi 2016 di sini, pagi tadi.

Kongres yang pertama kalinya diadakan di Malaysia itu dianjurkan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM).

Sementara itu, beliau berkata, penyelidik USM turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila kajian spesies tiram yang dilaksanakan sejak 25 tahun lalu, berjaya menghasilkan benih berkualiti yang mampu memberikan hasil kira-kira 2,000 tiram dalam tempoh sebulan.

"Inovasi ini memberi manfaat kepada nelayan apabila pendapatan bulanan mereka sejak empat tahun lalu, berjaya ditingkatkan kepada iaitu kira-kira RM4,500 sebulan bagi jumlah tiram yang dituai.

"MOSTI sedia terus membantu lebih banyak pengkomersialan inovasi daripada USM yang mampu mengubah hidup masyarakat serta memberi manfaat kepada pendapatan negara," katanya.

16 dibaca
Berita Harian X