Ahad, 17 Julai 2016 | 12:02am

Lata Bayu rimba popular di Baling


PEMANDANGAN mempesona ketika berada di menara tinjau setinggi 10 meter. - Foto Zunnur Al-Shafiq

TENANG dan mendamaikan. Bukan itu saja, boleh melepak sambil menikmati udara segar.

Begitulah lazimnya apabila bercuti pada hujung minggu di pinggir hutan, kaki gunung atau anak sungai yang airnya mengalir jernih dari air terjun berhampiran.

Inilah kelebihan negara kita yang masih mempunyai alam semula jadi nan indah untuk dijadikan destinasi percutian.

Hutan Lipur Lata Bayu di Baling, Kedah adalah antara destinasi pelancongan dan rekreasi bersumberkan alam semula jadi di negara ini.

Antara keistimewaan di hutan lipur ini yang turut dikenali Taman Eko Rimba Lata Bayu adalah kolam mandi luas yang terbentuk secara semula jadi dan air terjunnya yang bertingkat.

Keunikan bentuk dan struktur semula jadi air terjun itu menjadikan ia sebagai tempat sesuai untuk melakukan aksi meluncur air kerana permukaan batunya yang licin.

Bagi menjadikan lebih menarik, pengurusan Hutan Lipur Lata Bayu turut menyediakan taman tema air dan tempat khas untuk mereka yang mahu melakukan aksi menggelungsur di atas batu licin di air terjun berhampiran.

Meluncur di atas batu licin

Meluncur air di Taman Eko Rimba Lata Bayu menjadi pilihan remaja dan kanak-kanak yang selamba saja beraksi di atas permukaan batu licin, seterusnya jatuh bebas di kolam luas.

Hanya mereka yang berani, berjiwa kental dan berpengalaman saja boleh melakukan aksi itu Ini kerana, permukaan batu yang sangat licin bakal mengundang padah sekiranya tersilap langkah. Namun, inilah tarikan utama sekiranya berkunjung ke Lata Asam Jawa.

Kolam mandinya juga bertingkat-tingkat dengan kedalaman tertentu.


MELUNCUR atas batu licin bagi mereka yang berani saja. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Pejabat Jabatan Perhutanan yang menguruskan hutan lipur di sini hanya membina tembok konkrit untuk mengepung air, sekali gus menjadikan pengalaman mandi-manda di sini sangat menyeronokkan!

Berada di menara tinjau setinggi 10 meter (m), turut memberikan pemandangan yang lebih cantik.

Air Terjun Lata Bayu dikelilingi hutan tropika, sekali gus menyajikan pesona kehijauan yang begitu memukau.

Bagi mereka yang meminati aktiviti merentas hutan atau trekking, disediakan denai yang dilengkapi tangga dan beberapa gazebo bagi pengunjung menuju ke puncak Bukit Tok Bidan.

Kemudahan asas, kebersihan dijaga

Sebagai nilai tambah, air terjun Lata Bayu terbentuk mendatar di beberapa kawasan utama, justeru pengunjung mengambil kesempatan itu untuk bersantai di kawasan ini kerana airnya lebih sejuk, segar dan bersih. Kebanyakan yang berkhelah di sini adalah keluarga, remaja dan kanak-kanak. Aksi lucu dapat dilihat apabila kanak-kanak melakukan pelbagai gaya terjunan di kolam berkenaan.

Dari menara tinjau, suasana persekitaran kelihatan seperti pesta air kerana pengunjung memenuhi setiap ruang di kawasan air terjun ini.

Ahmad Nazri Ismail dari Hikers Climber Adventure Team (HCAT) berkata, Hutan Lipur Lata Bayu memang menjadi destinasi percutian popular, bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat tetapi juga ada yang datang dari Pulau Pinang dan Perak utara.

"Pada cuti hujung minggu, kedatangan pengunjung memang ramai. Ini dapat dilihat apabila tempat letak kereta yang sentiasa penuh.

"Hutan Lipur Lata Bayu juga terpelihara kebersihannya. Beberapa kemudahan asas turut disediakan untuk keselesaan pengunjung," katanya.

Antara kemudahan itu ialah gerai makan dan kedai menjual cenderamata, tempat salin pakaian, surau. dewan kecil dan tandas awam.

Ternyata Taman Eko Rimba Lata Bayu adalah antara destinasi ekopelancongan yang boleh anda kunjungi apabila menjelajah ke Baling.


KOLAM luas bertingkat dengan kedalaman berbeza terbentuk secara semula jadi. - Foto Zunnur Al-Shafiq

INFO

  • Pertanyaan lanjut dan kebenaran perkhemahan di Lata Bayu boleh diajukan kepada:
  • Pejabat Hutan Daerah Kedah Selatan Kompleks Kerajaan, Tingkat Bawah Kulim, Kedah
  • Telefon: 04 490 3760
  • Koordinat GPS: U 5.7151 darjah, T 100.8103 darjah
  • Laman sesawang: www.kedforestry.gov.my
  • E-mel: webmaster@kedforestry.gov.my
  • Waktu operasi: 7 pagi hingga 6 petang
  • Kemasukan dan kemudahan parkir adalah percuma

FAKTA NOMBOR

# 30 km - Jarak perjalanan dari pekan Baling

# 90km - Jarak perjalanan dari bandar Alor Setar

# 20m - Ketinggian air terjun Lata Bayu

# 5 km - Panjang denai menuju ke Bukit Tok Bidan

# 842m - Ketinggian Bukit Tok Bidan dari aras laut

FAKTA

  • Hutan Lipur Lata Bayu terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi, Baling, Kedah. Ia juga popular dengan nama Lata Asam Jawa.
  • Pada permukaan bawah air terjun ini membentuk kolam semula jadi dikenali sebagai Lubuk Lesung. Namun, airnya tidak begitu dalam, paras dada seorang dewasa dan sesuai untuk mandi-manda. Tapi perlu berwaspada.
  • Terdapat pelbagai flora dan fauna yang boleh ditemui di kawasan hutan sekitar air terjun Lata Asam Jawa ini seperti meranti seraya, meranti tembaga, meranti melantai, terap keledang dan bintangor.

TAMAN EKO RIMBA POPULAR DI KEDAH

* Air Terjun Temurun

* Air Terjun Seri Perigi

* Lata Mengkuang

* Bukit Hijau

* Sungai Sedim

636 dibaca
Berita Harian X