;
Sabtu, 16 Julai 2016 | 3:22pm

Interchange ditayang di Festival Filem Locarno


BABAK filem Interchange lakonan Shaheizy Sam dan Iedil Putra.

KUALA LUMPUR: Hanya akan menjengah pawagam tempatan pada awal tahun depan, filem kedua arahan Dain Said, Interchange terlebih menerima penghormatan antarabangsa apabila terpilih untuk tayangan sempena Festival Filem Locarno di Switzerland pada 5 Ogos depan.

Filem yang membariskan pelakon seperti Shaheizy Sam, Iedil Putra selain Nicholas Saputra dan Prisia Nasution itu akan ditayangkan di ruang terbuka di Piazza Grande yang mampu memuatkan 8,000 penonton, selain dimainkan di layar gergasi untuk dinikmati seluruh pengunjung festival itu.

Sesi tayangan filem itu akan diserikan dengan kehadiran empat barisan pelakon utama Interchange, ditemani Dain dan penerbitnya, Nandita Solomon selain pengarah fotografi, Jordan Chiam (Terbaik Dari Langit) serta pengarah muzik, Luka Kuncevic (Polis Evo).

Festival Filem Locarno diasaskan sejak tahun 1946 dan pernah menampilkan pengarah terkemuka seperti Claude Chabrol, Stanley Kubrick, Miloš Forman, Béla Tarr, Chen Kaige, Alexandr Sokurov, Jim Jarmusch, Spike Lee, Ang Lee, Claire Denis, Kim Ki-Duk, Abbas Kiarostami serta ramai lagi.

Interchange diterbitkan oleh Apparat dan dibiayai Sonneratia Capital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDec) dan Seeing Eye Films dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) selain penerbit Indonesia, Cinesurya.

Ia adalah filem kedua arahan Dain selepas Bunohan yang ditayangkan empat tahun lalu dan merangkul lima pengiktirafan termasuk Filem Terbaik pada kemuncak Festival Filem Malaysia Ke- 25 (FFM25).

Film seram 'supernatural' yang menggabungkan pelakon hebat Malaysia dan Indonesia ini mengisahkan mengenai detektif Man lakonan Sam bersama rakannya yang juga jurufoto forensik bernama Adam (Iedil Putra) terbabit dalam kes pembunuhan bersiri yang mengerikan.

Pengalaman yang mereka lalui itu menjadi igauan dan memberi kesan mendalam kepada Adam. Sejak peristiwa itu, Adam mula menyendiri dan menghindari dunia nyata serta sering merakamkan foto dari beranda apartmennya.

94 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »